Pengguna dadah tertua dunia dikesan di Indonesia

Pengguna dadah tertua dunia dikesan di Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Pengguna dadah tertua di dunia berjaya dikesan selepas saintis menemukan bukti amalan mengunyah buah pinang sejak 25,000 tahun lalu.

Penemuan itu dibuat menerusi kajian saintis Universiti Griffith terhadap seorang pemburu-pengumpul purba di Indonesia yang dipercayai mengunyah buah berkenaan ketika Zaman Ais terakhir.

Buah pinang boleh menghasilkan kesan euforia ringan serta meningkatkan tahap kewaspadaan dan masih diamalkan masyarakat di rantau Asia-Pasifik hingga kini.

“Walaupun kurang dikenali dalam masyarakat Barat, ia merupakan bahan psikoaktif keempat paling banyak digunakan di dunia selepas alkohol, kafein dan nikotin,” kata penulis utama kajian, Profesor Adam Brumm.

Sebelum ini, penggunaan bahan psikoaktif dalam kalangan manusia dipercayai hanya bermula pada zaman Neolitik, kira-kira 13,000 tahun lalu.

Bagaimanapun, penemuan terbaharu itu mengubah anggapan berkenaan apabila bukti penggunaan bahan psikoaktif dikesan lebih 10,000 tahun lebih awal.

Dalam kajian itu, penyelidik menemukan tinggalan dua individu pemburu-pengumpul awal manusia di pulau Sulawesi, masing-masing dianggarkan hidup antara 25,000 hingga 16,000 dan 7,600 hingga 6,300 tahun lalu.

Bagaimanapun, eksperimen yang dijalankan pasukan penyelidik membuktikan tindakan menghisap buah berkenaan sahaja sudah mencukupi untuk membebaskan sebatian tersebut.

Kedua-dua individu tersebut mempunyai corak kehausan gigi yang luar biasa, termasuk alur dalam dan berbentuk bulat pada permukaan gigi.

Menurut penyelidik, keadaan itu menunjukkan mereka menghisap buah pinang secara keseluruhan. Sebelum ini, buah pinang dipercayai perlu dikunyah bagi membebaskan sebatian psikoaktif yang dikenali sebagai arekolina.

Secara keseluruhannya, penemuan itu menunjukkan manusia menggunakan bahan psikoaktif sejak tempoh yang jauh lebih lama daripada yang dipercayai sebelum ini.

“Bermula sejak 25,000 tahun lalu di Sulawesi, jauh sebelum bermulanya kegiatan pertanian, amalan menghisap buah pinang mungkin menjadi bukti paling awal penggunaan dadah di dunia,” kata Brumm.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×