PATTAYA: Isu keselamatan sebuah resort di Koh Larn, Pattaya, kembali menjadi perhatian selepas seorang tetamu mendakwa menemukan tiga ekor cicak dan seekor ular di dalam bilik air ketika menginap di situ pada Mac 2024.
Darin Pookung, berkongsi pengalaman itu di Facebook semalam bersama gambar resort dan haiwan berkenaan serta video kejadian.
Darin berkata, dia dan rakannya pada awalnya mendaftar masuk ke resort berkenaan seperti biasa dan tertarik dengan suasana serta kemudahan yang disediakan.
Dia merancang untuk bangun awal keesokan pagi bagi membuat persiapan untuk sesi penggambaran bersama pihak resort.
Kira-kira pukul 7 pagi keesokan harinya, Darin masuk ke bilik air dan menyalakan lampu sebelum ternampak tiga ekor cicak pada dinding di atas pintu.
Darin berkata dia terlalu takut untuk keluar dari bilik air lalu meminta bantuan rakannya. Bagaimanapun, rakannya berada di luar bilik air dan turut tidak berani masuk.
Tidak lama kemudian, seekor ular muncul dan menyerang salah satu cicak berkenaan. Katanya, dia menjerit dan menangis ketakutan sebelum segera membuka pintu bilik air dan melarikan diri.
Seorang pekerja resort dan pemilik penginapan itu kemudian pergi ke bilik berkenaan untuk mengeluarkan haiwan tersebut. Darin berkata, mereka menggunakan lesung dan penyepit untuk mengeluarkan cicak serta ular itu.
Darin berkata dia tidak meminta pampasan atau berpindah ke penginapan lain kerana ketika itu dia dan rakannya masih muda serta tidak mempunyai banyak wang.
Hantarannya kemudian tular di media sosial Thailand. Sesetengah pengguna menganggap kejadian itu menghiburkan, manakala yang lain menggalakkan Darin dan rakannya meminta pihak pemilik resort bertanggungjawab.
Pemilik resort itu kemudian memberi respons menerusi satu hantaran di laman Facebook resort berkenaan.
Pemiliknya berkata, cicak dan ular adalah sebahagian daripada alam semula jadi, begitu juga manusia.
“Cicak dan ular adalah sebahagian daripada alam semula jadi dan kita juga sebahagian daripada alam itu. Kita tidak boleh memisahkan kehidupan kita daripada alam semula jadi,” katanya.
Pemilik itu berkata, dia cuba menutup ruang pada siling setiap unit penginapan bagi menghalang haiwan daripada masuk. Bagaimanapun, katanya, persekitaran semula jadi di sekitar resort menyebabkan kejadian sedemikian masih boleh berlaku.
Beliau turut berkata, kejadian membabitkan haiwan seperti itu jarang berlaku.- AGENSI











