5,000 askar AS naiki kapal USS Abraham Lincoln tinggalkan Pattaya - Utusan Malaysia

5,000 askar AS naiki kapal USS Abraham Lincoln tinggalkan Pattaya

KAPAL pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln belayar meninggalkan Pattaya. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Ribuan askar Amerika Syarikat (AS) yang berada di atas kapal pengangkut pesawat berlepas dari Thailand pada Ahad, menurut wartawan AFP.

Ia sekali gus menamatkan persinggahan pelabuhan pertama mereka selepas sembilan bulan berada di laut susulan laporan mengenai kemerosotan keadaan kehidupan di atas kapal.

Kira-kira 5,000 kru USS Abraham Lincoln berlabuh di utara bandar peranginan Pattaya, berhampiran Bangkok, pada Rabu untuk berehat dan beriadah selama lima hari selepas penugasan yang panjang di Asia Barat.

Ketibaan mereka ketika musim pelancongan rendah di Thailand menimbulkan harapan dalam kalangan pengusaha perniagaan di Pattaya, sebuah bandar yang terkenal dengan pantai dan kehidupan malamnya. 

Wartawan AFP melihat kapal itu berlepas dari Pelabuhan Laem Chabang, kira-kira setengah jam perjalanan dari Pattaya, sekitar pukul 11 pagi waktu tempatan.

Kawalan keselamatan dipertingkatkan di Pattaya sepanjang kunjungan tersebut.

Walaupun terdapat kebimbangan mengenai kemungkinan berlaku masalah, polis tempatan berkata pada Ahad bahawa persinggahan kapal itu secara keseluruhannya berakhir tanpa sebarang insiden besar.

“Semuanya berjalan lancar,” kata Ketua Polis Pattaya, Anek Srathongyoo, kepada AFP.

“Tiada tangkapan atau pergaduhan kecuali pada hari pertama apabila warga Amerika bergaduh sesama sendiri,” tambahnya.

Ketua polis itu sebelum ini berkata, Tentera Laut AS menghantar dua pelaut kembali ke kapal tersebut selepas mereka terlibat dalam pergaduhan akibat mabuk pada awal pagi Khamis berhampiran kawasan tumpuan kehidupan malam Pattaya, Walking Street.

Datuk Bandar Pattaya, Poramase Ngampiches berkata pada Ahad bahawa anggota tentera AS yang berpangkat bawahan dianggarkan membelanjakan sehingga 100 juta baht (RM12 juta) sepanjang kunjungan mereka.

Bulan lalu, anggota Kongres AS daripada Parti Demokrat menggesa siasatan terhadap keadaan di atas kapal itu susulan laporan mengenai kekurangan makanan, masalah paip dan krisis kesihatan mental. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×