KUALA TERENGGANU: Kos pembinaan dan penyelenggaraan sistem rawatan kumbahan yang mencecah puluhan ribu hingga ratusan ribu ringgit menjadi faktor utama pengusaha chalet, resort, kawasan rekreasi dan perkampungan nelayan masih gagal mematuhi garis panduan pembuangan sisa domestik serta kumbahan.
Pensyarah Kanan Program Kimia Analisis dan Persekitaran, Fakulti Sains dan Sekitaran Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Izan Jaafar berkata, walaupun garis panduan berhubung perkara itu sudah lama ditetapkan, kos yang tinggi serta kekangan infrastruktur menjadi penghalang besar kepada pematuhan.
Katanya, anggaran kos bergantung kepada penggunaan harian yang ditentukan oleh jumlah pengguna sesuatu sistem.
“Jika hanya kumbahan air biasa dari tandas, kos mungkin sekitar RM5,000 hingga RM50,000. Namun bagi kumbahan yang mengandungi bahan toksik, kos boleh mencecah sehingga ratusan ribu ringgit kerana memerlukan sistem tapisan, pam, reaksi biologi atau kimia serta pengudaraan yang lebih kompleks,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Semalam, Mingguan Malaysia melaporkan, di sebalik imej mempesonakan di Pulau Redang di sini, sebagai antara pulau tercantik di dunia dengan menjanjikan laut membiru, pasir memutih dan keindahan alam yang sukar ditandingi, terpampang sisi lain yang tiada dalam risalah pelancongan.
Izan berkata, selain faktor kos, tahap kesedaran pengusaha yang berbeza-beza dan sikap budaya lama turut menyumbang kepada masalah berlarutan.
“Ada pihak masih beranggapan laut yang luas mampu mencairkan semua bahan buangan. Persepsi ini menyebabkan mereka kurang terdorong untuk melabur dalam sistem rawatan moden,” ujarnya.
Beliau berkata, amalan membuang sisa terus ke laut bukan sahaja menjejaskan kualiti air, malah boleh mengurangkan biodiversiti marin, menjejaskan populasi ikan dan akhirnya memberi kesan kepada sumber perikanan serta keselamatan makanan negara.
Menurutnya, selagi kos pencemaran dianggap lebih rendah daripada kos pematuhan, masalah tersebut akan terus berulang.
“Perubahan memerlukan bukan sahaja kemudahan mencukupi,tetapi juga perubahan minda dan budaya masyarakat ke arah amalan lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya.
Ditanya tentang pendapat bahawa air laut mampu meneutralkan kekotoran dan bahan kumbahan yang dibuang terus tanpa proses rawatan, beliau berkata, ia tidak tepat.
Beliau berkata, air laut memang mempunyai keupayaan pencairan dan proses semula jadi tertentu, namun ia bukan sistem rawatan kumbahan.
“Apabila jumlah bahan pencemar melebihi kapasiti semula jadi laut untuk memprosesnya, pencemaran berlaku dan kesannya boleh berlarutan dalam jangka masa panjang.
“Hidupan laut juga ada had untuk menerima dan menapis serta mengkumuhkan bahan-bahan pencemar ini yang akhirnya memangsa dan membunuh mereka,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Kelautan UMT, Dr. Mohamed Shahrir Mohamed Zahari berkata, lambakan sampah yang tidak diurus secara sistematik di Pulau Redang berpotensi menjejaskan kualiti air, merosakkan ekosistem marin serta mengancam habitat hidupan laut termasuk terumbu karang dan penyu.
Beliau berkata, Pulau Redang adalah kawasan marin yang sensitif kerana mempunyai ekosistem terumbu karang, kawasan pembiakan penyu dan pelbagai spesies hidupan laut yang perlu dipulihara.
Menurutnya, sampah yang tidak ditutup atau diurus dengan baik boleh dihanyutkan ke laut melalui aliran air permukaan, sistem perparitan, tiupan angin serta air pasang.
“Apabila sisa organik mereput di dalam air, ia boleh menyebabkan fenomena ledakan alga dan mengurangkan kandungan oksigen terlarut selain menjadikan air keruh serta berbau.
“Sisa bukan organik pula boleh menutupi permukaan air serta terumbu karang selain menghasilkan mikroplastik yang mengancam hidupan marin dan menurunkan nilai estetika kawasan pelancongan,” katanya.
Beliau berkata, pencemaran plastik adalah ancaman paling membimbangkan kerana bahan seperti botol plastik, bekas polistirena, beg plastik dan bekas makanan pakai buang merupakan antara sisa yang paling banyak digunakan dan mudah dibuang ke persekitaran.
Menurutnya, sisa plastik boleh menjerut hidupan marin atau disalah anggap sebagai makanan oleh haiwan seperti penyu, namun tidak dapat dihadam sehingga membawa kepada kematian.
Katanya, sisa makanan yang bercampur dengan kumbahan juga berpotensi menyebabkan ledakan alga, selain membawa patogen berbahaya yang mengancam kesihatan hidupan marin dan manusia.
“Mikroplastik pula mempunyai risiko tinggi untuk terbentuk apabila plastik terdedah kepada cahaya matahari, haba, ombak serta perubahan cuaca dalam tempoh yang lama. Oleh kerana saiznya yang sangat kecil, mikroplastik boleh memasuki rantaian makanan bermula daripada zooplankton dan anak ikan sebelum dipindahkan kepada pemangsa yang lebih besar.
“Ia bukan sahaja mengganggu sistem pemakanan, malah turut menjejaskan pertumbuhan, pembiakan dan metabolisme hidupan marin,” katanya.
Mengulas langkah penyelesaian, Mohamed Shahrir berkata, sistem pengurusan sisa pepejal di Pulau Redang perlu dinilai semula dan dipertingkat mengikut jumlah serta jenis sisa yang dihasilkan.
Katanya, pengurusan sampah di pulau tidak boleh hanya mengambil kira bilangan penduduk tempatan, sebaliknya perlu mengambil kira pertambahan pelancong yang meningkat secara bermusim.
“Pengurusan sisa perlu dirancang berdasarkan kuantiti dan jenis sampah supaya lebih berkesan, selain dipantau dan ditambah baik secara berterusan mengikut keperluan semasa.
“Dalam aspek ekopelancongan pula, penggunaan bekas makanan dan minuman pakai buang wajar dikurangkan bagi mengutamakan pendekatan pencegahan berbanding rawatan terhadap pencemaran,” katanya.
Beliau berkata, kesan jangka panjang pencemaran boleh menjadi sukar atau hampir mustahil dipulihkan sekiranya kerosakan terhadap ekosistem marin dibiarkan berterusan.
“Jika sungai yang tercemar pun sukar dikembalikan kepada keadaan asal, apatah lagi kawasan laut yang terbuka dan luas seperti di Pulau Redang.
“Pemulihan hidupan marin pula memerlukan kos yang sangat tinggi serta mengambil masa yang panjang. Sebab itu usaha pemeliharaan perlu dilaksanakan dari peringkat awal, lebih-lebih lagi Pulau Redang mempunyai nilai ekologi dan nilai pelancongan yang amat tinggi,” katanya. – UTUSAN










