WELLINGTON: Sebilangan rumah di ibu kota New Zealand dinaiki banjir yang dipenuhi dengan najis dan produk sanitasi pada Jumaat selepas kejadian ribut semalaman menyebabkan paip sisa kumbahan tersumbat.
Menurut syarikat utiliti bandar itu, Wellington Water, limpahan sisa kumbahan di kawasan pinggir bandar Island Bayitu berpunca daripada sekatan pada paip utama.
Syarikat itu memaklumkan bahawa sebanyak lima premis terjejas akibat limpahan tersebut dan kru penyelenggaraan bertungkus-lumus untuk membersihkan sisa najis dan produk sanitasi selain melakukan proses sanitasi di rumah-rumah terlibat.
“Sebuah trak penyedut telah dihantar ke lokasi limpahan. Kami sedia maklum mengenai beberapa premis yang mengalami limpahan akibat paip utama tersumbat.
“Kami sedang bekerjasama dengan pemilik kediaman untuk membantu proses pembersihan dan disinfeksi,” jelas Wellington Water dalam satu kenyataan.
Seorang penduduk Island Bay, Richard Peters memberitahu agensi penyiaran nasional RNZ bahawa situasi menjijikkan itu menjadi semakin buruk apabila air banjir mula surut.
“Kelihatan ketulan najis bertaburan di atas tanah, tuala wanita dan air bertukar menjadi warna coklat,” kata Peters.
Sementara itu, agensi kaji cuaca New Zealand, MetService melaporkan bahawa pihaknya merekodkan lebih 5,000 kejadian panahan kilat dalam tempoh semalaman di Wellington, ketika ribut petir menurunkan taburan hujan sebanyak 25.7 milimeter dalam masa dua jam.
Wellington Water menjelaskan bahawa hujan lebat itu turut menambah masalah kepada loji rawatan sisa kumbahan Moa Point yang sedia rosak dan gagal berfungsi dengan baik sejak dilanda ribut pada Februari lalu.
Berjuta-juta liter sisa kumbahan mentah telah mengalir ke kawasan perairan di sepanjang pantai selatan Wellington yang indah sejak fasiliti tersebut mengalami kerosakan.
Meskipun kerja-kerja pembaikan kecil telah dilaksanakan sejak insiden itu, loji berkenaan dijangka hanya akan beroperasi sepenuhnya menjelang November depan.
Pihak Wellington Water mengesahkan bahawa kejadian ribut petir semalaman itu telah menyebabkan lebih banyak sisa kumbahan mentah yang tidak dirawat terpaksa dipam keluar ke dalam laut. – AGENSI










