JOHOR BAHRU: UMNO dan Pas perlu memastikan wujud persefahaman agar tidak bertembung antara satu sama lain dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Pilihan Raya Umum (PRU) bagi mengembalikan kestabilan politik di negara ini.
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Noh Omar berkata, kerjasama dan persefahaman kedua-dua parti politik Melayu terbesar di negara itu merupakan sebab utama beliau kembali menerusi inisiatif Rumah Bangsa.
Katanya, kebarangkalian untuk kedua-dua parti tersebut menang akan menjadi lebih tinggi sekiranya kerjasama itu dijalinkan.
“Kerjasama itulah perjuangan saya selama ini, itulah harapan saya apabila kembali semula ke Rumah Bangsa. Perjuangan saya adalah agar UMNO dan Pas tidak bertembung antara satu sama lain.
“Bukan bergabung, cuma jangan bertembung. Kalau ini boleh dilaksanakan ia akan beri semangat baharu kepada politik negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Arowana Emas Pertama Malaysia 2026 di sini hari ini.
Noh yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata, pihaknya bersyukur kerana melihat perkembangan semasa yang menunjukkan kerjasama dan persefahaman sedemikian hampir menjadi realiti.
“Saya bersyukur dengan apa yang diucapkan Presiden UMNO (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, nampaknya kita menuju ke arah itu, insya-Allah akan berlaku.
“Jika kekal seperti di PRN Negeri Sembilan, itu yang terbaik, itu harapan saya. Anthony Loke Siew Fook juga kalah,” katanya.
Sementara itu, mengulas tentang kemungkinan kembali tercalon pada PRU akan datang, Noh memberitahu pihaknya enggan memikirkan perkara tersebut sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada penyatuan masyarakat Melayu terlebih dahulu.
“Bertanding atau tidak saya tidak mahu fikir, apa yang lebih utama adalah memastikan parti diwakili menang. Sekiranya dipilih sebagai calon pun boleh berubah pada waktu akhir, jadi yang penting adalah kerjasama dahulu,” katanya.
Pada 27 Ogos lalu, Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dilaporkan berkata pihaknya terbuka untuk mengadakan rundingan kerjasama dengan gabungan parti politik lain, namun tidak akan berkompromi dengan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada PRN lalu.-UTUSAN











