LONDON: Bayi yang dilahirkan oleh ibu mengalami anemia didapati mempunyai saiz otak lebih kecil, terutama di bahagian yang berkaitan dengan pergerakan, pembelajaran dan kawalan emosi, menurut kajian terbaharu.
Penyelidik berkata, perbezaan itu mula dikesan ketika bayi berusia setahun dan berpotensi menyebabkan masalah kognitif apabila kanak-kanak berkenaan mula bersekolah.
Kajian itu mendapati jumlah isipadu otak bayi yang dilahirkan oleh ibu mengalami anemia secara purata empat peratus lebih rendah berbanding bayi yang dilahirkan oleh ibu tanpa anemia.
Malah, perbezaan itu dikesan walaupun semua ibu terbabit hanya mengalami anemia ringan.
Lebih satu pertiga wanita hamil di seluruh dunia mengalami anemia, yang lazimnya berpunca daripada kekurangan zat besi dan menyebabkan jumlah sel darah merah dalam badan lebih rendah daripada paras normal.
Antara gejala anemia termasuk keletihan, sesak nafas dan pening, dengan kadar kejadian tertinggi direkodkan di sub-Sahara Afrika dan Asia Selatan.
Penyelidik dari King’s College London di United Kingdom dan University of Cape Town di Afrika Selatan menjejaki lebih 300 ibu serta bayi mereka di Cape Town.
Imbasan otak dilakukan beberapa kali terhadap bayi terbabit ketika mereka berusia antara tiga bulan hingga dua tahun.
Kajian itu turut mengenal pasti perbezaan pada tiga bahagian otak, iaitu putamen, nukleus kaudat dan korpus kalosum.
Penulis pertama kajian, Jessica Ringshaw, yang juga penyelidik di Institut Psikiatri, Psikologi & Neurosains King (IoPPN) dan University of Cape Town, berkata ketiga-tiga bahagian itu memainkan peranan penting dalam fungsi neuropsikologi.
“Ketiga-tiga bahagian otak ini berkait dengan fungsi neuropsikologi utama,” katanya, sambil menjelaskan ia termasuk keupayaan memproses maklumat, mengawal emosi dan fungsi eksekutif.
Perbezaan antara kedua-dua kumpulan bayi itu semakin ketara dalam tempoh dua tahun pertama kehidupan mereka.
Sebagai contoh, saiz korpus kalosum pada usia 12 bulan kira-kira empat peratus lebih kecil dalam kalangan bayi yang ibunya mengalami anemia, sebelum perbezaan itu meningkat kepada enam peratus pada usia 24 bulan.
Kajian terdahulu di Afrika Selatan yang membabitkan kanak-kanak kecil dan kanak-kanak usia persekolahan turut menemukan perbezaan saiz otak yang sama.
Ringshaw berkata, keadaan itu menunjukkan perbezaan perkembangan otak berkenaan tidak hilang apabila kanak-kanak membesar.
“Ini bukan kanak-kanak yang akhirnya dapat mengejar perkembangan lain apabila perbezaan pada otak mereka semakin berkurangan.
“Perbezaan itu masih wujud ketika mereka berusia enam tahun dan mula bersekolah, iaitu ketika kesannya mungkin mula diterjemahkan kepada masalah kognitif yang lebih ketara,” katanya.- AGENSI










