KUALA KANGSAR: Malaysian Pro Cycling (MPC) mahu barisan pelumba pendakinya mampu bangkit dan mempamerkan prestasi terbaik pada Peringkat 4 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) yang berakhir di Cameron Highlands, esok.
Prinsipal MPC, Sayuti Zahit berkata, laluan mencabar di Cameron Highlands yang berketinggian kira-kira 1,500 meter (m) dari aras laut menjadi medan terbaik buat pelumba pendaki pasukan itu kembali menunjukkan kemampuan selepas gagal mencapai sasaran pada pendakian puncak Gunung Jerai di Peringkat 2, semalam.
Katanya, MPC menjangkakan saingan sengit di Cameron Highlands apabila kelompok kecil sekitar lima hingga 10 pelumba bakal melepasi zon pendakian terlebih dahulu sebelum diekori peloton.
“Cameron Highland saya rasa kumpulan yang sama juga (Peringkat 2), lima sepuluh atau 10 pelumba kemudian baru ada peloton.
“Kita berharap pelumba-pelumba pendaki ini dapat bangkit semula dan melakukan yang terbaik di Cameron Highland,” katanya.
Sayuti berkata, tumpuan pasukan selepas itu akan beralih kepada Peringkat 5, Khamis ini, yang turut menyajikan cabaran pendakian di Genting Highlands.
“Selepas Cameron Highland, kemudian Genting Highland. Kita akan fokus kepada kedua-dua peringkat ini,” katanya.
Esok, perlumbaan Peringkat 4 bermula dari Meru Raya ke Cameron Highlands dengan jarak keseluruhan 142.3 kilometer (km) menawarkan pendakian Kategori Hors (HC). – UTUSAN











