Malaysia terus jadi pilihan pelumba IAME Siri Asia

Malaysia terus jadi pilihan pelumba IAME Siri Asia

Pusingan keenam IAME Siri Asia 2026 mencatat 122 pelumba berdaftar, mengatasi 119 peserta pada pusingan sebelumnya untuk muncul penyertaan tertinggi yang pernah direkodkan satu jenama dalam siri kejohanan berkenaan di rantau ini. - IHSAN IAME
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT: Malaysia terus mencuri perhatian pelumba antarabangsa apabila IAME Siri Asia merekodkan jumlah penyertaan tertinggi dalam sejarah penganjuran siri itu di rantau ini, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi perlumbaan pilihan.

Pengarah Eksekutif Kinex Private Limited dan IAME Siri Asia, Daniel Ling berkata, daya tarikan Malaysia bukan hanya terletak pada kos penyertaan yang kompetitif, sebaliknya suasana perlumbaan, keramahan masyarakat serta pengalaman keseluruhan yang dinikmati pelumba sepanjang berada di negara ini.

“Daripada maklum balas yang saya terima daripada komuniti perlumbaan, mereka secara umumnya menyukai Malaysia kerana rakyatnya yang mesra, makanan, suasana dan litar perlumbaan yang baik,” katanya ketika ditemui di Litar Antarabangsa Karting Sirkit LYL, pada Ahad.

Pusingan keenam IAME Siri Asia 2026 mencatat 122 pelumba berdaftar, mengatasi 119 peserta pada pusingan sebelumnya untuk muncul penyertaan tertinggi yang pernah direkodkan satu jenama dalam siri kejohanan berkenaan di rantau ini.

Menurut Daniel, kehadiran peserta antarabangsa termasuk dari Australia membuktikan faktor jarak dan kos bukan penghalang apabila pengalaman yang ditawarkan di Malaysia dianggap berbaloi untuk mereka kembali bersaing.

“Mereka sebenarnya membayar lebih untuk datang berlumba di sini, tetapi mereka sanggup berbuat demikian kerana berasa dialu-alukan, gembira dan menjadi sebahagian daripada negara serta komuniti yang hebat ini,” katanya.

Malah, sebuah pasukan dari Australia dilaporkan menyifatkan suasana di paddock Malaysia lebih mesra berbanding pengalaman mereka ketika menyertai perlumbaan di negara sendiri.

“Apabila kami memasuki paddock, kami berasa sangat dialu-alukan untuk berlumba di sini, berbeza ketika kami berlumba di negara sendiri,” katanya.

Bagi memudahkan penyertaan pasukan luar, penganjur turut menyediakan sokongan merangkumi urusan penginapan, jaringan dengan pasukan tempatan, kastam serta pengurusan logistik dari gudang ke litar.

Daniel berkata, sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Tourism Malaysia turut membantu memperkukuh kedudukan IAME Siri Asia, selain membuka peluang untuk Malaysia membina ekosistem lebih besar sebagai hab permotoran.

“Tahun depan kami mahu mula mengembangkan lagi sukan permotoran di Malaysia menerusi penubuhan Kinex Motorsport di negara ini, dengan membawa semua operasi kembali ke Malaysia dan menjadikannya hab serta ibu pejabat operasi kami,” katanya.

Dalam masa sama, IAME Siri Asia turut memperluas laluan pembangunan bakat menerusi Kinex Rising Stars Academy, IAME Straits Cup serta akademi berasaskan kereta formula bagi menyediakan laluan berperingkat kepada pelumba muda untuk membina kerjaya.

Daniel berkata, beberapa pelumba yang pernah melalui pentas IAME Siri Asia termasuk Bianca Bustamante, Yvan David, Christian Ho dan wakil negara, Putera Adam kemudiannya meneruskan langkah ke perlumbaan formula serta GT.

Penganjuran siri berkenaan turut memberi kesan kepada sektor ekonomi apabila Daniel menganggarkan sekitar RM15 juta dibawa masuk ke Malaysia menerusi inisiatif Visit Malaysia 2026 sepanjang beberapa pusingan tahun ini, berdasarkan kira-kira 500 penyertaan selain kehadiran mekanik, ahli keluarga dan penyokong. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×