Malaysia tamat penantian 36 tahun

Malaysia tamat penantian 36 tahun

Regu berpasukan lelaki negara, Mohamad Azlan Alias, Farhan Adam dan Mohammad Syahir Mohd Rosdi beraksi menentang Thailand pada final acara regu sepak takraw berpasukan pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Paloma Mizuho Arena, hari ini. -BERNAMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad sepak takraw negara menghadiahkan emas keempat buat Malaysia di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas menewaskan Thailand 2-0 dalam acara regu berpasukan, sekali gus menamatkan penantian 36 tahun untuk kembali bergelar juara, sebentar tadi.

Kejayaan itu mengulangi pencapaian Malaysia pada Sukan Asia Beijing 1990 apabila skuad negara kali terakhir meraih emas acara berpasukan selepas menewaskan Thailand.

Lebih manis, Malaysia tidak perlu menunggu sehingga regu ketiga apabila kemenangan regu pertama dan kedua sudah cukup untuk mengesahkan emas di Paloma Mizuho Arena.

Memuatkan artikel berkaitan…

Regu pertama Syahir Rosdi, Farhan Adam dan Azlan Alias membuka laluan selepas menewaskan regu pertama Thailand 15-9, 5-15, 15-11 dalam pertarungan tiga set.

Muhammad Zulkifli Abd Razak, Aidil Aiman Azwawi dan Muhammad Afifudin Razali kemudian menyempurnakan misi apabila mengatasi regu kedua Thailand 15-13, 15-11 untuk memberikan kemenangan 2-0 kepada Malaysia.

Emas itu turut menjadi penebusan buat anak buah Ahmad Jais Baharun selepas tewas kepada Thailand pada final Piala Raja Thai di Bangkok bulan lalu, selain meneruskan momentum kemenangan ke atas lawan sama pada final Piala Dunia di Stadium Titiwangsa, Mei lalu.

Dengan tambahan emas sepak takraw itu, Malaysia kini mengumpul empat emas, satu perak dan lima gangsa untuk berada di tangga ke-10 carta pungutan pingat setakat jam 3.30 petang hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×