Kepimpinan K-A-S-I-H: Hargai Kekuatan, harmonikan keadaan

Kerangka Kepimpinan K-A-S-I-H: Hargai kekuatan, harmonikan keadaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Situasi :

Dua orang Ketua Panitia mempunyai pendekatan yang sangat berbeza.

Ketua Panitia A berpengalaman, sistematik dan sangat menekankan pematuhan.

Ketua Panitia B pula lebih muda, kreatif dan banyak menggunakan pendekatan digital serta inovasi. Perbezaan pendekatan menyebabkan kedua-duanya sering tidak bersetuju dan ahli panitia masing – masing mula berpecah kepada dua kelompok.

Kalau anda sebagai pemimpin sekolah, bagaimana anda mengendalikan situasi ini? Membiarkan perkara ini terus berlaku dan masa mengadilinya? Atau mengambil peluang mengukuhkan organisasi ?

Elemen akhir dalam kerangka kepimpinan K-A-S-I-H iaitu H – hargai dan harmonikan. Apa maksudnya? Sebagai pemimpin sekolah kita perlu memastikan setiap individu merasakan bahawa sumbangan mereka bernilai dan kepelbagaian kekuatan dapat disatukan untuk mencapai matlamat organisasi.

Penghargaan yang sebenar berlaku apabila individu:

  • diiktiraf sumbangannya;
  • didengar pandangannya;
  • dihormati kepakarannya;
  • diberi kepercayaan;
  • diberikan peluang untuk menyumbang;
  • merasakan dirinya sebahagian daripada kejayaan organisasi.

dan kita mengharmonikan keadaan dengan mengurus perbezaan secara bijaksana sehingga kepelbagaian idea, personaliti, kepakaran dan pengalaman menjadi kekuatan kolektif.

Jadi dalam situasi di atas, pemimpin sekolah boleh menggunakan dialog berikut :

“Saya melihat kekuatan yang berbeza pada kedua-dua cikgu. Pengalaman dan ketelitian Cikgu A penting untuk memastikan kualiti dan pematuhan. Kreativiti serta kemahiran digital Cikgu B pula penting untuk membawa pembaharuan. Kita tidak perlu memilih antara kedua-duanya. Kita perlu menggabungkan kekuatan tersebut.”

Amalan menghargai kekuatan dan mengharmonikan keadaan ini ditunjukkan dengan pemimpin sekolah :

Menilai setiap sumbangan warga sekolah walaupun tidak menghasilkan pencapaian yang besar. Terutama mereka yang bekerja di belakang tabir.

Menghargai dengan penuh ketelusan dan spesifik. Penghargaan spesifik penting supaya individu memahami tingkah laku positif yang perlu diteruskan.

Menghargai dengan adil dan bukan hanya individu yang rapat dengan kita sahaja.

Menjadikan perbezaan individu sebagai kekuatan kolektif yang saling melengkapi. Pemimpin tidak perlu menjadikan setiap individu seragam.

Mengharmonikan konflik dengan dialog profesional yang akhirnya mewujudkan persefahaman.

Menghubungkan individu dengan wawasan dan hala tuju organisasi sehingga setiap individu berasa organisasi ini milik bersama.

Meraikan kejayaan bersama bukan atas kapasiti individu sahaja.

Setelah pemimpin sekolah mengenali setiap individu dalam organisasinya, mengambil peduli tentang keperluan dan kebajikan, menyantuni dengan penuh hikmah, menginspirasikan potensi setiap warga, harapan akhir ialah setiap individu akan berkata: “Saya bernilai, saya diperlukan di sini dan saya sebahagian daripada organisasi ini.”

Maka lengkaplah kerangka kepimpinan K-A-S-I-H. – UTUSAN

 

AHMAD SHAFRIN ABDUL AZIZ

School Improvement Partners + ( SIPartners+ )

Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat

 

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×