MADRID: Kerajaan wilayah Madrid pimpinan Isabel Diaz Ayuso dikritik selepas membelanjakan 6.3 juta euro (RM29 juta) untuk membeli sebuah penthouse yang didakwa akan dijadikan pejabat sementara.
Pembelian itu dibuat ketika pejabat Ayuso menjalani kerja pengubahsuaian, sehingga mencetuskan persoalan mengenai keperluan menggunakan jutaan euro wang kerajaan untuk membeli sebuah kediaman mewah.
Ayuso, pemimpin terkemuka parti pembangkang konservatif Sepanyol (PP), menjadi presiden wilayah Madrid sejak 2019.
Beliau terkenal sebagai ahli politik yang lantang dan antara pengkritik tegar Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, yang mengetuai kerajaan berhaluan sosialis.
Sanchez dan keluarganya berdepan dakwaan rasuah sejak dua tahun lalu, manakala Ayuso sering menuduh Perdana Menteri itu dan Parti Pekerja Sosialis Sepanyol (PSOE) pimpinannya terlibat dalam rasuah.
Namun, pembelian penthouse itu kini menyebabkan Ayuso dan pentadbirannya berdepan desakan supaya memberikan penjelasan secara terbuka dan telus mengenai penggunaan wang kerajaan berkenaan.
Julai lalu, akhbar El País melaporkan kerajaan wilayah Madrid membeli penthouse itu pada April di kawasan mewah Chamberí.
Jurucakap kerajaan wilayah memberitahu akhbar itu, hartanah berkenaan dibeli untuk digunakan Ayuso ketika pejabatnya di Real Casa de Correos, iaitu pusat pentadbiran kerajaan wilayah, menjalani kerja pengubahsuaian.
Bagaimanapun, jurucakap itu enggan mendedahkan harga hartanah berkenaan atau menjelaskan sama ada Ayuso bercadang untuk tinggal di situ.
Harga sebenar penthouse itu kemudian diketahui mencecah 6.3 juta euro, manakala undang-undang perancangan bandar menetapkan hartanah berkenaan hanya boleh digunakan sebagai kediaman dan bukan pejabat.
El País turut melaporkan minggu lalu, kerajaan Ayuso menetapkan hartanah yang dicari perlu berkeluasan antara 250 hingga 400 meter persegi serta mempunyai teres besar, syarat yang dianggap pelik bagi sebuah ruang pejabat.- THE GUARDIAN










