BEIJING: Ibu bapa di seluruh China sanggup membayar ribuan yuan untuk menghantar anak mereka menyertai kem luar bandar yang mewajibkan peserta melakukan kerja-kerja fizikal.
Menerusi program yang dijalankan sepanjang cuti musim panas itu, kanak-kanak dari kawasan bandar melakukan pelbagai tugas seperti menggali kentang, mengupas kulit pokok dan memberi makan kepada babi.
Kem berkenaan dipasarkan sebagai program yang memberi pendedahan kepada kehidupan susah, dengan penganjur mendakwa pengalaman melakukan kerja ladang dapat mengajar kanak-kanak mengenai kepayahan kerja fizikal serta nilai sebenar wang.
Kursus selama 10 hari berharga lebih 4,000 yuan (RM2,400), manakala yuran bagi program selama sebulan boleh melebihi 10,000 yuan (RM6,000).
Kebanyakan kem berkenaan beroperasi di wilayah barat daya China, termasuk Sichuan, Guizhou dan Yunnan, yang mempunyai cuaca musim panas yang lebih sejuk berbanding kebanyakan kawasan lain di negara itu.
Rutin harian di kem berkenaan meniru kehidupan seharian seorang petani. Kanak-kanak menggali kentang sebelum menjualnya di tepi jalan, selain menjaga babi dan haiwan ternakan lain.
Peraturan di kem berkenaan juga ketat. Telefon bimbit peserta dirampas sebaik tiba, manakala bekalan makanan diagihkan berdasarkan jumlah kerja yang berjaya diselesaikan setiap kanak-kanak.
Kanak-kanak yang gagal mencapai sasaran kerja hanya diberikan kentang untuk hidangan berkenaan.
Beberapa video yang tular di media sosial menunjukkan kanak-kanak menangis dan merayu untuk dihantar pulang.
Dalam satu video, seorang kanak-kanak lelaki berkata dia sanggup menyiapkan semua kerja sekolah yang diberikan kepadanya asalkan tidak perlu melakukan kerja ladang lagi.
Peserta kem perlu mengemas tempat tidur masing-masing dan menyusun barangan peribadi mengikut peraturan yang ditetapkan.
Penganjur mempertahankan pendekatan itu dengan berkata, matlamat program berkenaan adalah untuk memberi gambaran kepada kanak-kanak mengenai nilai sebenar tenaga kerja, manakala tugasan yang diberikan disesuaikan dengan kemampuan mereka mengikut usia.
Sesetengah kem turut meminta peserta menulis surat kepada keluarga. Surat berkenaan kemudian dikongsi secara meluas oleh ibu bapa di media sosial dan kini menjadi sebahagian daripada bahan promosi kem berkenaan.- AGENSI










