PETALING JAYA: Juara Korea Masters, Tee Kai Wun-Yap Roy King bergelut bagi mencari rentak permainan sebelum berjaya menyingkirkan wakil Taiwan, He Zhi Wei-Huang Jui Hsuan pada peringkat 32 terbaik Kejohanan Badminton China Masters di Guangdong, China, hari ini.
Ekoran lambat mendapatkan momentum, pasangan yang kini menghuni ranking ke-132 dunia itu terpaksa bermain sehingga ke rubber set sebelum menang ke atas beregu No. 38 dunia tersebut 18-21, 21-16, 21-9 dalam masa 48 minit.
Kai Wun berkata, dia dan Roy King gagal bermain seperti biasa apabila pergerakan mereka agak perlahan sehingga menjadi punca kepada kekalahan dalam set pertama.
“Kami tidak dapat bermain laju, malah, bulu tangkis juga terasa berat dan permainan kami serba tidak menjadi dalam aksi pembukaan,” katanya ketika ditemu bual oleh wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan berakhir.
Ketika ditanya sama ada angin mungkin mengganggu rentak permainan, Kai Wun menafikan faktor tersebut, tetapi, mengakui mereka sedikit bergelut untuk menyesuaikan diri dengan keadaan stadium yang besar.
“Tetapi dalam set ketiga kami akhirnya kembali mendapat rentak dan tidak berdepan masalah untuk menang,” ujarnya.
Pada peringkat 16 terbaik, Khamis ini, Kai Wun-Roy King akan turun beraksi menentang gandingan muda Indonesia, Ali Faathir Rayhan-Devin Artha Wahyudi.
Ali Faathir-Devin yang merupakan beregu No. 30 dunia diberi kemenangan percuma oleh pasangan profesional Malaysia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani yang hanya bertahan di dalam gelanggang selama 18 minit sebelum mengambil keputusan menarik diri.
Mereka berbuat demikian selepas tewas 16-21 dalam set pertama dan Izzuddin difahamkan mungkin mengalami masalah kecederaan ataupun kurang sihat selepas pemain itu dilihat gagal beraksi pada keupayaan sebenarnya.
Sementara itu, satu lagi beregu negara, Soh Wooi Yik-Aaron Tai meneruskan kemaraan selepas membenam wakil Jepun, Hiroki Okamura-Kyohei Yamashita 18-21, 21-12, 21-15 dalam masa 48 minit di peringkat 32 terbaik.
Wooi Yik-Aaron yang kali pertama digandingkan akan berdepan lawan yang jauh lebih mencabar di pusingan seterusnya, apabila dijadual bertemu beregu tuan rumah, Chen Bo Yang-Liu Yi yang menghuni ranking No. 10 dunia. – UTUSAN










