IYC terus dekati belia dengan komuniti, kekal relevan selepas 38 tahun

IYC terus dekati belia dengan komuniti, kekal relevan selepas 38 tahun

PARA peserta mendengar taklimat bagi Pertandingan Mini Bouldering sempena Hari Terbuka IYC 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yayasan Pusat Belia Antarabangsa (IYC) terus memperkukuh peranannya sebagai platform pembangunan belia dan komuniti menerusi penganjuran Hari Terbuka IYC 2026 sempena sambutan ulang tahun ke-38 yayasan itu di Bandar Tun Razak, Ahad lalu.

Program yang berlangsung bermula pukul 7 pagi hingga 6 petang itu bukan sekadar meraikan 38 tahun penubuhan IYC, malah membuka ruang kepada masyarakat untuk mengenali dengan lebih dekat kemudahan, perkhidmatan dan peluang yang disediakan khususnya kepada golongan belia.

Dr. Wan Ahmad Hazman bin Wan Daud, Pengarah Pusat Belia Antarabangsa (IYC) (kiri) bersama pemenang dan ibu bapa yang menyertai Pertandingan Mewarna & Melukis Kanak-Kanak sempena Hari Terbuka IYC 2026.

Penganjuran berkenaan turut menghimpunkan pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), organisasi belia serta sukarelawan menerusi kerjasama strategik Parlimen Bandar Tun Razak, Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), Majlis Belia Malaysia (MBM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Majlis Belia Bandar Tun Razak dan MARIGOLD.

“Antara tarikan yang disediakan ialah Kaunter JPJ Mobile, reruai agensi kerajaan dan swasta, Saringan Pergigian Percuma oleh Klinik Kesihatan Cheras serta Saringan Kesihatan Mata oleh TONNEH, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan perkhidmatan dan maklumat secara terus.

“Golongan belia turut mendapat perhatian menerusi Mini Karnival Kerjaya PERKESO yang menyediakan maklumat peluang pekerjaan, perkhidmatan kerjaya dan usaha meningkatkan kebolehpasaran, selain program ekonomi komuniti seperti Jualan Rahmah, Jualan Minyak Masak Terpakai dan Program Tukar Minyak Hitam Motosikal Percuma,” kata IYC dalam satu kenyataan.

Aspek pendidikan, teknologi dan kreativiti pula diketengahkan menerusi Jom Exchange Al-Quran (JEQ), Soccer Drone dan Soccer Robot, manakala IYC’s Got Talent 2026, Aerobikthon IYC 2026, IYCKL Open Day Chess Tournament 2026, Mini Bouldering, Vibes@TikTok dan e-sukan menyediakan ruang kepada belia menyerlahkan bakat masing-masing.

Program itu turut dilengkapkan dengan aktiviti kekeluargaan seperti Mini Petting Zoo, cabutan bertuah serta pertandingan melukis dan mewarna kanak-kanak bagi memastikan Hari Terbuka IYC dapat dinikmati pelbagai lapisan masyarakat.

Selepas 38 tahun penubuhannya, IYC terus menyediakan ruang, kemudahan dan peluang kepada golongan muda untuk membangunkan potensi, menimba pengalaman serta membina jaringan di peringkat nasional dan antarabangsa.

SEBAHAGIAN belia yang mengambil bahagian dalam Pertandingan e-football sempena Hari Terbuka IYC.

Sambutan ulang tahun kali ini turut memperlihatkan komitmen IYC untuk terus relevan dengan keperluan semasa menerusi pengukuhan program pembangunan belia, jaringan strategik dan penglibatan komuniti.

Pengurusan tertinggi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Ahli Lembaga Amanah IYC turut hadir memberikan sokongan terhadap usaha memperluas hubungan antara IYC dengan masyarakat dan memperkukuh kerjasama pelbagai pihak.

IYC dalam kenyataannya berkata kekuatan institusi itu terletak pada keupayaan menghubungkan belia, komuniti dan rakan strategik bagi mewujudkan ekosistem pembangunan yang lebih inklusif dan responsif.

Seiring perubahan landskap pembangunan belia, IYC akan terus memberi tumpuan kepada usaha melahirkan generasi muda yang berilmu, berkemahiran, kreatif, berdaya tahan, berkeyakinan dan berdaya saing.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×