PETALING JAYA: Dua beradik cedera selepas ditikam seorang lelaki yang menceroboh masuk ke kediaman mereka di Taman Sri Bintang, Kepong, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.04 pagi itu, Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menerima panggilan MERS999 daripada orang awam memaklumkan seorang lelaki telah menceroboh masuk ke sebuah rumah.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam berkata, sebaik menerima maklumat, anggota polis bergegas ke lokasi dan mendapati terdapat kesan terbakar pada bahagian luar rumah.
Menurut beliau, polis turut menemukan adik-beradik masing-masing berusia 18 dan 21 tahun yang cedera dan sedang bersembunyi di dalam tandas di bilik bawah rumah berkenaan.
“Polis kemudian naik ke tingkat atas dan mendapati seorang lelaki dikesan berada di dalam sebuah bilik sambil memegang sebilah pisau.
“Suspek berjaya berjaya ditahan dan polis turut merampas pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anuar Bakri berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua mangsa dan suspek mengalami kecederaan akibat kesan tikaman.
Katanya, ketiga-tiga mereka kemudian dibawa dengan ambulans ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai cemburu terhadap salah seorang mangsa kerana mangsa tersebut berhubung semula dengan bekas teman lelakinya.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 326 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Polis Kuala Lumpur akan terus komited dalam menguatkuasakan undang-undang bagi memelihara keselamatan dan ketenteraman masyarakat.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-4048 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran,”katanya.
Sementara itu, bapa mangsa yang ingin dikenali berkata dia dan ahli keluarganya terdiri lima orang sedang tidur sebelum terjaga selepas terdengar bunyi kecoh di luar.
Menurutnya, sebaik membuka pintu untuk memeriksa keadaan, mereka mendapati seorang lelaki sedang menuang minyak dan membakar rumahnya.
“Saya lihat suspek iaitu seorang lelaku panjat tembok pagar dan membakar kawasan halaman rumah.
“Malah dia turut meluru masuk ke dalam rumah dan terus ke bilik tidur di tingkat atas sebelum menikam anak perempuan
dan membakar bilik,” jelasnya kepada media di sini hari ini.
Katanya,anak lelakinya berusia 18 tahun turut ditikam suspek itu ketika cuba menghalangnya.
“Dia (suspek) kemudian mengurung diri di dalam salah sebuah bilik sebelum polis tiba pukul 6 pagi dan menahannya.
“Lelaki itu turut mengamuk dan menikam pehanya sendiri. Apa yang saya tahu dia mengenali anak perempuan saya semasa bermain permainan dalam talian,” katanya. – UTUSAN










