Demi impian Rania, keluarga sanggup bina hidup baharu di Jerman

Demi impian Rania, keluarga sanggup bina hidup baharu di Jerman

QASEH Rania untuk meneruskan impian dalam bola sepak bersama kelab Divison 1, Fortuna Dusseldorf dalam saingan bawah 17 tahun (B-17).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Demi memastikan impian anaknya untuk bergelar pemain bola sepak profesional terus berkembang, keluarga Khairul Najib Ibrahim sanggup meninggalkan keselesaan hidup di Malaysia untuk memulakan lembaran baharu di Jerman.

Pengorbanan itu dilakukan bagi memberi ruang kepada Qaseh Rania, 16, mengembangkan bakatnya selepas pemain muda berkenaan mendapat peluang menyarung jersi Fortuna Dusseldorf dalam saingan B-Juniorinnen-Regionalliga West, iaitu liga tertinggi Bawah 17 Tahun (B-17) wanita di negara berkenaan.

Keputusan untuk berhijrah bersama seluruh keluarga bukanlah sesuatu yang dibuat dengan mudah, sebaliknya memerlukan proses panjang, khususnya bagi menyelesaikan urusan perpindahan Rania sebagai pemain bawah umur.

Bagi Khairul Najib, kejayaan menyempurnakan segala urusan berkenaan akhirnya memberi kelegaan, biarpun pada masa sama keputusan meninggalkan tanah air untuk membina kehidupan baharu di Eropah mengundang perasaan bercampur-baur.

“Perasaan sebenarnya bercampur baur. Ada rasa teruja dan ada juga rasa sedih selepas melalui proses perjalanan yang panjang, terutama untuk menguruskan perpindahan Rania dari Malaysia ke Jerman.

“Alhamdulillah, akhirnya berjaya dan Rania dapat meneruskan kerjaya bola sepaknya di Jerman.

“Ada rasa sedih kerana meninggalkan negara, keluarga dan sahabat handai, tetapi dalam masa sama teruja untuk memulakan hidup baharu di Jerman. Satu perasaan yang susah digambarkan,” katanya ketika ditemui media, hari ini.

Rania berpeluang mencipta pencapaian tersendiri apabila menjadi pemain dari Asia Tenggara yang beraksi di Divisyen 1 dalam sistem B-17 wanita Jerman, sekali gus membuka peluang untuk menguji kemampuan bersama kelompok pemain muda berbakat dari pelbagai negara.

“Dalam sistem B-17 di Jerman ada enam divisyen dan Rania bermain di Divisyen 1. Setakat yang saya tahu, Rania satu-satunya pemain dari Asia Tenggara yang bermain di Divisyen 1.

“Pemain lain datang dari Sepanyol, Poland, Belanda dan pelbagai negara Eropah termasuk Maghribi. Dalam pasukan Rania sendiri ada pemain dari beberapa negara,” jelasnya.

Pendedahan di pentas berkenaan diyakini mampu memberi pengalaman berharga kepada Rania untuk berkembang bukan sahaja dari sudut teknikal dan taktikal, malah membentuk kematangan sebagai pemain serta individu dalam persekitaran bola sepak yang lebih kompetitif.

Dalam masa sama, penghijrahan sekeluarga itu turut menuntut mereka menyesuaikan diri dengan kehidupan di negara asing, termasuk perubahan cuaca, makanan, suasana, persekitaran dan masyarakat setempat.

Namun, Khairul Najib percaya proses tersebut dapat dilalui dengan baik berdasarkan pengalaman terdahulu mereka ke Jerman bagi mengikuti program latihan bola sepak.

“Kami perlu menyesuaikan diri dengan cuaca, makanan, suasana, persekitaran dan masyarakat di sana. Tetapi kami percaya proses itu tidak akan mengambil masa lama kerana sebelum ini kami sudah mempunyai pengalaman ke Jerman untuk latihan bola sepak.

“Ini adalah proses untuk kami membina kehidupan baharu dan memulakan ‘new chapter’,” katanya.

Penghijrahan keluarga Khairul Najib bukan sekadar perpindahan dari satu negara ke negara lain, sebaliknya menjadi bukti kesungguhan sebuah keluarga dalam menyokong impian anak yang memilih untuk menguji kemampuan di pentas lebih tinggi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×