Cermin mata 'si gatal' dilarang di kolam renang Sydney

Cermin mata ‘si gatal’ dilarang di kolam renang Sydney

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Sebuah majlis perbandaran terbesar di Sydney menyertai Brisbane dan Yarra mengenakan larangan penggunaan cermin mata pintar kecerdasan buatan (AI) di kolam renang awam susulan kebimbangan teknologi itu boleh dieksploitasi pemangsa seksual.

Majlis Canterbury-Bankstown pada Selasa meluluskan larangan berkenaan dengan majoriti besar, termasuk di semua kolam renang awam di bawah kendaliannya.

Datuk Bandarnya, Bilal El-Hayek, menyifatkan peranti itu sebagai ‘cermin mata untuk si gatal’ susulan kebimbangan ia boleh digunakan untuk merakam orang lain tanpa pengetahuan atau kebenaran mereka.

Sejak cermin mata pintar berkenaan diperkenalkan, beberapa laporan mendakwa wanita dirakam tanpa kebenaran sebelum rakaman terbabit dikongsi di media sosial.

Kebimbangan turut timbul susulan rakaman interaksi wanita dengan seorang pempengaruh yang memakai cermin mata berkenaan sebelum dimuat naik ke platform media sosial.

“Kumpulan sembang, Facebook, forum komuniti tempatan dan TikTok antara platform dalam talian yang digunakan wanita untuk meluahkan kebimbangan mengenai teknologi pintar itu yang mengancam keselamatan dan privasi.

“Cermin mata pintar AI terbaharu merupakan peranti boleh pakai yang dilengkapi kamera beresolusi tinggi serta berasaskan AI seperti terjemahan masa nyata, pengecaman objek dan audio tanpa menutup telinga,” kata El-Hayek kepada ahli majlis pada mesyuarat berkenaan.

Beliau berkata, peranti itu bukan sahaja boleh merakam dan berkongsi rakaman, malah mampu mengimbas wajah serta berpotensi mengakses serta mendapatkan maklumat mengenai seseorang.

Bulan lalu, Brisbane menjadi majlis perbandaran pertama di Australia mengumumkan secara terbuka larangan terhadap rakaman secara senyap di 21 kolam renang awamnya susulan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap keselamatan kanak-kanak.

Yarra di kawasan pinggir bandar Melbourne kemudian mengambil langkah sama apabila minggu lalu mengundi untuk melarang penggunaan cermin mata pintar di kemudahan rekreasi dan akuatik, pusat penjagaan kanak-kanak serta taman permainan.

Majlis itu turut mengesahkan akan mendesak kerajaan persekutuan memperkenalkan undang-undang privasi yang lebih ketat bagi melindungi orang ramai daripada ancaman teknologi baharu.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×