PETALING JAYA: Malaysia tidak mempunyai wakil dalam acara beregu lelaki, selepas dua pasangan negara, Nur Mohd Azriyn Ayub Azriyn-Tan Wee Kiong dan Tee Kai Wun-Yap Roy King terkandas pada separuh akhir Kejohanan Badminton China Masters di Guangdong, China, hari ini.
Beregu veteran, Azriyn-Wee Kiong tewas kepada gandingan No. 5 dunia, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India 16-21, 21-18, 11-21 dalam masa 1 jam 6 minit di Shenzen Arena.
Ini merupakan kekalahan ketiga berturut-turut beregu No. 29 dunia itu di tangan pilihan kedua tersebut.
Sementara itu, dalam satu lagi separuh akhir, beregu pecah ganding, Tee Kai Wun-Yap Roy King turut menerima nasib serupa apabila tumpas kepada pasangan tuan rumah, He Ji Ting-Ren Xiang Yu 21-23, 17-21, 17-21 dalam masa 1 jam 4 minit.
Kedua-dua beregu belum pernah bertemu dalam mana-mana kejohanan antarabangsa dan kekalahan tersebut menyaksikan Kai Wun-Roy King kini ketinggalan di belakang Ji Ting-Xiang Yu yang menghuni ranking ke-70 dunia dengan kedudukan 0-1.
Tersingkirnya dua gandingan lelaki Malaysia itu, bermakna Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing menjadi wakil tunggal negara berjaya menjejakkan kaki ke pentas akhir dalam sektor beregu campuran, esok. – UTUSAN










