ASAL 2026: 22 pelbagai negara angkat warisan Lenggong menerusi seni

ASAL 2026: 22 pelbagai negara angkat warisan Lenggong menerusi seni

MOHAMMAD Nor Mohammad Khalid (Datuk Lat) dan Pengarah Program ASAL 2026, Saadon Ishak bergambar bersama 22 pelukis dari 12 negara termasuk Malaysia, di Batu Di-Situ, Lenggong, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LENGGONG: Seramai 22 pelukis tempatan dan antarabangsa hadir menyertai Art, Stories, Archaeology, Lenggong (ASAL 2026) yang berlangsung selama tiga hari dua malam di Batu Di-Situ, Lenggong, Perak.

Pengarah Program ASAL 2026, Saadon Ishak juga dikenali sebagai Kartunis Don, berkata program itu diwujudkan bagi menjadikan seni sebagai satu cara memperkenalkan kisah dan nilai warisan Lenggong kepada masyarakat serta pengunjung.

“Lenggong mempunyai sejarah yang panjang, terutama dari sudut arkeologi dan kehidupan manusia awal. Kita mahu para pelukis datang sendiri ke sini, melihat dan mengalami suasana Lenggong sebelum menterjemahkannya melalui karya masing-masing

“Program kali ini berjaya menghadirkan pelukis dari Malaysia, Itali, Sepanyol, Rusia, Jepun, Iran, Oman, Singapura, Indonesia, Myanmar, China dan Scotland.

“Sepanjang program, setiap pelukis menghasilkan sebuah karya di atas kepingan batu di Batu Di-Situ dan karya yang dihasilkan memperlihatkan pelbagai tafsiran terhadap Lenggong, termasuk unsur manusia awal, arkeologi, alam, simbol dan pengalaman para pelukis sepanjang berada di kawasan berkenaan,” katanya.

Menurut Saadon, kepelbagaian tafsiran itu merupakan antara perkara yang ingin diketengahkan menerusi ASAL.

“Kami tidak mahu semua orang melukis perkara yang sama. Setiap artis mempunyai pengalaman dan pandangan sendiri terhadap Lenggong. Itulah yang menjadikan setiap karya berbeza,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan Lenggong sebagai lokasi ASAL turut mempunyai kaitan rapat dengan kedudukannya sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

“Pengiktirafan UNESCO memberikan Lenggong kedudukan yang sangat penting dari sudut warisan. Kita mahu pengunjung bukan sahaja tahu bahawa Lenggong ialah Tapak Warisan Dunia, tetapi turut mengenali cerita yang menjadikan tempat ini begitu istimewa.

“Seni boleh menjadi salah satu cara untuk menyampaikan cerita itu,” katanya.

ASAL 2026 juga mendapat sokongan dana Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan tumpuan kepada seni, sejarah, arkeologi dan warisan Lembah Lenggong.

Majlis perasmian dan penutup ASAL 2026 disempurnakan oleh Seniman Diraja Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid (LAT) dan turut dihadiri Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Pengerusi serta Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Pengurus Besar PORT Ipoh, selain wakil Angkatan Pelukis SeMalaysia dan Persatuan Pelukis Perak.

Saadon berkata, karya-karya yang dihasilkan di Batu Di-Situ diharap dapat terus menjadi sebahagian daripada tarikan kawasan berkenaan dan memberi satu pengalaman tambahan kepada pengunjung.

“Harapan saya, Batu Di-Situ akan menjadi tempat yang menggabungkan seni dengan cerita warisan Lenggong. Orang datang melihat karya, kemudian mereka ingin tahu tentang sejarah dan arkeologi yang ada di sini.

“Kalau itu berlaku, saya fikir seni sudah memainkan peranannya,” katanya.

Katanya,  ASAL 2026 juga membuka ruang untuk Lenggong terus diperkenalkan kepada pelukis dan penggiat seni dari luar negara, di samping memberi peluang kepada pelukis tempatan berkongsi pentas dengan seniman antarabangsa.

Karya 22 pelukis yang dihasilkan sepanjang program itu kini menjadi sebahagian daripada pengalaman ASAL 2026 di Batu Di-Situ, dengan harapan lokasi tersebut dapat berkembang sebagai salah satu mercu tanda seni dan warisan di Lenggong. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×