WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) menubuhkan pasukan khas bagi membantu meningkatkan perkongsian maklumat perisikan dan rancangan strategi bersama Arab Saudi di tengah peningkatan krisis ketenteraan di Asia Barat.
Langkah drastik berkenaan diambil susulan tindakan agresif kumpulan Houthi di Yemen yang melancarkan siri serangan berterusan terhadap kedudukan kerajaan Arab Saudi.
Pusat Pemerintahan Tentera AS (CENTCOM) mengesahkan penubuhan pasukan khas tersebut yang bermatlamat mengukuhkan pakatan keselamatan dengan Riyadh bagi mendepani ancaman keselamatan serantau.
Ketegangan di rantau berkenaan memuncak selepas pejuang Houthi mengisytiharkan sekatan maritim serta melancarkan serangan terhadap kapal-kapal dagang milik Arab Saudi di Laut Merah.
Situasi semakin meruncing apabila kumpulan terbabit berjaya menguasai kawasan pantai Laut Merah dan Selat Bab al-Mandab yang merupakan laluan perkapalan paling kritikal di dunia.
Bukan sekadar menyasarkan laluan laut, Houthi turut melancarkan serangan peluru berpandu ke atas fasiliti minyak Arab Saudi, manakala Riyadh bertindak balas menerusi puluhan serangan udara ke atas kedudukan pemberontak di Yemen.
Kebangkitan semula perang saudara Yemen selepas reda sejak 2022 memaksa kepimpinan Arab Saudi merayu campur tangan tentera AS.
Minggu lalu, media AS melaporkan bahawa Putera Mahkota Arab Saudi telah membuat permintaan peribadi kepada Presiden Donald Trump agar AS campur tangan secara tentera, namun permintaan berkenaan telah ditolak.
Pada 12 September, Trump menyatakan bahawa pihak Houthi sendiri telah menghubungi Washington bagi meminta AS agar tidak campur tangan dalam krisis berkenaan.
Walaupun Iran dituduh menyokong pejuang Houthi dengan bekalan senjata dan teknologi ketenteraan, pentadbiran Teheran menafikan penglibatan secara langsung dalam konflik terkini yang sedang bergolak itu. -AFP










