MELAKA: Pemergian Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali bukan sahaja kehilangan besar buat keluarga, malah turut dirasai seluruh negara.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, Malaysia kehilangan seorang tokoh wanita serta doktor perubatan yang banyak menabur jasa kepada masyarakat sepanjang hayatnya.
Ab. Rauf menzahirkan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan keluarga atas pemergian Allahyarham yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pagi ini.
Beliau berkata, Allahyarham akan sentiasa dikenang bukan sekadar sebagai isteri kepada seorang negarawan, sebaliknya sebagai insan yang mendedikasikan kehidupan dalam bidang kesihatan awam, khususnya kebajikan ibu dan anak, pembangunan wanita, kesejahteraan keluarga serta pelbagai usaha kemasyarakatan.
“Dengan penuh rasa dukacita, saya mewakili kepimpinan serta seluruh Kerajaan Negeri Melaka menzahirkan ucapan takziah kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad dan seluruh keluarga atas pemergian Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah.
“Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat negara kerana jasa serta pengorbanannya kepada rakyat akan terus dikenang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ab. Rauf berkata, perjalanan hidup Allahyarham sebagai antara wanita Melayu terawal yang menceburi bidang perubatan menjadi bukti bahawa ilmu, keikhlasan dan pengabdian akan meninggalkan kesan yang mendalam kepada kehidupan masyarakat.
Katanya, kelembutan budi, sifat penyayang serta sumbangan Allahyarham dalam memperjuangkan kesejahteraan wanita dan institusi keluarga menjadikan beliau sumber inspirasi kepada wanita Malaysia.
Beliau mendoakan Dr. Mahathir diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi detik penuh dukacita itu.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, mengampuni segala dosa dan kekhilafannya, menerima segala amal kebajikannya serta menempatkan Allahyarham bersama para solihin dan insan yang diredainya,” katanya.-UTUSAN











