PETALING JAYA: Agrobank merekodkan potensi pembiayaan mikro bernilai RM600,000 menerusi penyertaannya dalam Fiesta Pasar Malam Kuala Lumpur, selain penyertaan Takaful Kasih Plus dengan jumlah perlindungan sehingga RM1.09 juta.
Penyertaan itu merupakan sebahagian daripada usaha Agrobank mendekati komuniti usahawan bagi memahami keperluan perniagaan serta memperkenalkan kemudahan kewangan yang bersesuaian.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pendekatan secara langsung dengan komuniti usahawan penting bagi membolehkan Agrobank memahami cabaran sebenar yang dihadapi dalam menjalankan perniagaan.
“Setiap usahawan mempunyai keperluan dan cabaran yang berbeza mengikut skala serta tahap perkembangan perniagaan.
“Melalui sesi seperti ini, Agrobank dapat mendengar sendiri keperluan mereka dan berkongsi pilihan kewangan serta perkhidmatan yang sesuai untuk membantu mereka mengurus dan mengembangkan perniagaan,” katanya dalam kenyataan.
Fiesta berkenaan turut disertai 10 organisasi terdiri daripada institusi kewangan dan agensi yang menyediakan pelbagai maklumat, khidmat nasihat serta perkhidmatan kepada pengunjung.
Beliau berkata, program berkenaan turut memberi ruang kepada Agrobank untuk berinteraksi secara langsung dengan peniaga dan usahawan, khususnya dalam mengenal pasti keperluan mereka dari aspek pembiayaan, pengurusan kewangan serta penggunaan kemudahan perbankan digital.
“Kemudahan berkenaan dapat menyokong operasi dan perkembangan perniagaan usahawan.
“Sepanjang fiesta itu, pengunjung berpeluang mendapatkan maklumat mengenai produk dan perkhidmatan Agrobank, termasuk kemudahan pembiayaan untuk usahawan, pembukaan akaun serta penggunaan DuitNow QR bagi memudahkan transaksi tanpa tunai,” katanya.
Secara keseluruhan, siri pendekatan turun padang Agrobank menerusi libat urus di pasar tani seluruh negara serta Fiesta Pasar Malam Kuala Lumpur menghasilkan permohonan pembiayaan mikro bernilai kira-kira RM13.5 juta, mencerminkan sambutan positif dalam kalangan usahawan terhadap kemudahan pembiayaan yang ditawarkan.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud serta Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain.
Penyertaan Agrobank dalam Fiesta Pasar Malam Kuala Lumpur mencerminkan usaha berterusan bank itu mendekati komuniti perniagaan setempat dan memperluas akses kepada perkhidmatan kewangan bagi menyokong pertumbuhan usahawan secara lebih mampan. – UTUSAN










