Zahari Sarip dilantik Speaker DUN Johor baharu - Utusan Malaysia

Zahari Sarip dilantik Speaker DUN Johor baharu

ONN HAFIZ Ghazi (kiri) memakaikan jubah kepada Zahari Sarip selepas dilantik sebagai Speaker DUN Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, Datuk Zahari Sarip dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor baharu selepas penubuhan kerajaan negeri susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, baru-baru ini.

Pelantikan Zahari, 59, disahkan menerusi majlis angkat sumpah yang disempurnakan dalam Sidang DUN Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mencalonkan nama beliau, manakala cadangan tersebut disokong ADUN Bukit Permai, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor.

Memuatkan artikel berkaitan…

Onn Hafiz berkata, pemilihan Zahari dibuat selepas mengambil kira pelbagai pengalaman pentadbiran dan perkhidmatan yang dimiliki sepanjang kariernya.

“Beliau memulakan karier sebagai seorang guru, sebelum berkhidmat sebagai pegawai kepada Menteri Kesihatan, kemudian dilantik menjadi Ahli Dewan Negara dan juga sebagai ADUN Buloh Kasap sejak 2018.

“Beliau juga telah berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri sejak 2022 hingga 2026.

“Saya yakin, pengalaman dimiliki beliau dalam pentadbiran di peringkat negara dan negeri akan membolehkan beliau memimpin Sidang DUN Johor ke-16 dengan penuh matang dan berwibawa,” katanya.

Sementara itu, Zahari memberitahu, beliau berterima kasih dengan kepercayaan yang telah diberi Onn Hafiz serta ADUN-ADUN Johor lain.

“Ini satu penghormatan dan amanah yang besar, saya akan laksanakan sebaik-baik tanggungjawab ini.

“Pada masa sama, saya juga mengucapkan terima kasih kepada bekas Speaker DUN Johor, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi dan bekas Timbalan Speaker DUN Johor, Datuk Samsolbari Jamali,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini