DUBAI: Siasatan Haaretz mendedahkan kumpulan bersenjata Palestin di Gaza semakin berperanan sebagai pasukan proksi kepada Tentera Israel (IDF) dan Shin Bet.
Berdasarkan imej satelit, pemetaan media sosial serta keterangan anggota tentera, laporan itu mendakwa tentera Israel memberikan perlindungan, sokongan artileri dan dron kepada kumpulan yang menentang Hamas.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sebelum ini mengakui bekerjasama dengan kumpulan tempatan bagi menentang Hamas, dengan menyifatkan kerjasama itu selari dengan kepentingan keselamatan Israel.
Menurut laporan itu, beberapa anggota tentera Israel berkata kerjasama berkenaan menyebabkan peranan antara kumpulan bersenjata dan tentera semakin sukar dibezakan.
Anggota tentera mendakwa kumpulan berkenaan bergerak bebas berhampiran pos tentera Israel, mempamerkan kekuatan serta melaksanakan hukuman sendiri.
Seorang anggota IDF berkata dia pernah menyaksikan pertikaian antara puak apabila seorang lelaki bersenjata menembak kaki seorang lagi sebagai hukuman, ketika anggota tentera Israel hanya menyaksikan kejadian itu.
Seorang pegawai Tentera Udara Israel pula mendakwa anggota kumpulan berkenaan menyerbu kawasan kediaman menggunakan trak pikap, menembak orang awam, menjarah rumah dan membakar bangunan, manakala tentera Israel memberikan perlindungan kepada mereka.
Laporan itu mengenal pasti sekurang-kurangnya lima pangkalan kumpulan bersenjata yang masih aktif di beberapa kawasan di Gaza termasuk Beit Hanoun, Shujaiyeh, Deir al-Balah, Khan Yunis dan Rafah.
Data satelit menunjukkan ketika usaha pembinaan semula di kebanyakan kawasan Gaza masih terbantut, pangkalan kumpulan proksi itu terus diperluaskan dengan penggunaan jentera berat, penghadang konkrit diperkukuh serta unit kediaman mudah alih. Sebahagian peralatan dilaporkan dibekalkan terus dari Israel.
Kumpulan berkenaan, termasuk Pasukan Popular dan Pasukan Serangan Anti-keganasan, dikerahkan di sepanjang garisan pemisah bagi menjalankan operasi bersasar, merampas barangan terlarang serta mengusir penduduk secara paksa dari kawasan di bawah kawalan Israel.
Laporan itu berkata pegawai kanan pertahanan dan komander Israel mengakui secara tertutup bahawa pemimpin utama kumpulan berkenaan bukan tokoh politik, sebaliknya bekas anggota kumpulan samseng, pengedar dadah atau bekas pegawai keselamatan yang bertindak atas kepentingan peribadi atau keinginan membalas dendam terhadap Hamas.
Kepimpinan tentera Israel melihat rangkaian kumpulan proksi itu sebagai langkah sementara dan terhad bagi mengekalkan ketenteraman di kawasan tertentu, sambil mengakui kumpulan berkenaan tidak mempunyai keupayaan untuk bertahan dari segi ketenteraan tanpa perlindungan berterusan Israel.
Perkembangan projek berkenaan turut mencetuskan ketegangan diplomatik yang ketara, khususnya berkaitan usaha mencapai keamanan.- AGENSI











