VI Premier 10s terus jadi pentas buru bakat ragbi

VI Premier 10s terus jadi pentas buru bakat ragbi

PENGANJURAN tahun ini dijangka berlangsung lebih meriah. - IHSAN PENGANJUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 KUALA LUMPUR: Kejohanan ragbi sekolah, VI Premier 10s terus mengukuhkan statusnya sebagai antara gelanggang terbaik melahirkan pemain muda berbakat apabila edisi ke-15 bakal menghimpunkan 48 pasukan dalam kategori Bawah 15 (B-15) dan Bawah 17 (B-17) dari seluruh negara.

Saingan anjuran Victoria Institution Gallados Rugby Club itu dijadual berlangsung di Victoria Institution Green dari 31 Julai hingga 2 Ogos depan dengan persaingan dijangka lebih sengit membabitkan himpunan sekolah-sekolah elit ragbi negara.

Pengerusi VI Premier 10s, Nik Mohd. Sidek Nik Jaafar berkata, kejohanan itu bukan sekadar medan memburu kejuaraan, sebaliknya menjadi platform penting kepada pemain muda untuk mengetengahkan bakat di hadapan pencari bakat.

“VI Premier 10s kini sudah berada sebaris dengan kejohanan-kejohanan utama di peringkat sekolah. Ramai pencari bakat akan hadir bagi mengenal pasti pemain yang mempunyai potensi untuk diketengahkan,” katanya selepas majlis pelancaran dan undian kejohanan, semalam.

Dalam pada itu, Pengarah Kejohanan, Adri Mustaqim Amrul Hazarin berkata, penganjur memperkenalkan beberapa pembaharuan pada edisi kali ini termasuk melaksanakan undian secara terbuka bagi memastikan semua pasukan mendapat layanan yang sama.

Beliau berkata, aspek keselamatan pemain turut diberi perhatian dengan penyediaan doktor kejohanan dan ambulans selain mewajibkan setiap peserta memakai headgear serta mouthguard sepanjang pertandingan.

“Semua pasukan yang bertanding merupakan antara yang terbaik di negara ini dan saya percaya setiap kumpulan akan menyajikan persaingan yang cukup sengit,” katanya.

Selain aksi di padang, kejohanan itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti berbentuk karnival termasuk gerai penaja dan siaran langsung di dua gelanggang.

Senarai pasukan edisi kali ini turut menghimpunkan barisan sekolah ragbi terbaik negara seperti Victoria Institution (VI), Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR), Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SEMASHUR), Sekolah Menengah Sains Alam Shah (ASIS), Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah (MOZAC), Maktab Tentera Diraja (MTD), St John’s Institution (SJI), Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH), Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) dan Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS), bersama beberapa lagi pasukan terbaik dari seluruh negara.

Sejak diperkenalkan 15 tahun lalu, VI Premier 10s berjaya melahirkan ramai pemain yang kini mewakili universiti, negeri dan negara di pentas antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN