WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dilaporkan semakin kecewa dan ragu-ragu terhadap prospek keamanan yang berkekalan ketika konflik dengan Iran memasuki bulan kelima tanpa sebarang petanda akan berakhir.
Menurut pegawai pentadbiran AS serta individu yang rapat dengan Trump, konflik berlarutan itu bukan sahaja meningkatkan tekanan terhadap pentadbirannya, malah mengecilkan ruang pilihan beliau dalam menangani krisis berkenaan.
Laporan Wall Street Journal yang diterbitkan pada Khamis menyebut, beberapa penasihat Trump bimbang perang berpanjangan akan menjejaskan pentadbirannya dengan mendorong kenaikan harga, menghakis sokongan rakyat terhadap beliau serta melemahkan peluang Parti Republikan dalam pilihan raya pertengahan penggal akan datang.
Seorang pegawai kanan pentadbiran berkata, Trump percaya Iran hanya memahami penggunaan kekuatan ketenteraan dan kini berada dalam ‘mod membalas dendam’ terhadap Teheran, sekali gus menyebabkan beliau cenderung meneruskan operasi ketenteraan.
Dalam perkembangan sama, AS dilaporkan memperkukuh kehadiran tenteranya di Asia Barat dengan menghantar anggota dan aset ketenteraan tambahan ketika Trump mempertimbangkan peningkatan operasi ketenteraan, meskipun timbul kebimbangan mengenai kos serta tahap sokongan awam.
Konflik itu turut dilaporkan menjejaskan hubungan Trump dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, apabila presiden AS itu dikatakan enggan bercakap atau mengadakan pertemuan dengan pemimpin Israel berkenaan, menurut seorang pegawai kanan pentadbiran.
Konflik itu turut memberi kesan secara peribadi kepada Trump dan beberapa penasihat kanannya apabila mereka dilaporkan menerima amaran daripada agensi risikan mengenai ancaman pembunuhan oleh Iran, selain dinasihatkan supaya mengelakkan penggunaan perkhidmatan kereta.
Menurut sumber yang mengetahui perkara itu, ketika menghadiri sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Turkiye, Trump diberi taklimat risikan Israel mengenai dakwaan rancangan Iran untuk membunuh beliau.
Walaupun pegawai AS mempersoalkan kredibiliti maklumat berkenaan, taklimat itu dikatakan mendorong Trump pulang menggunakan pesawat Air Force One yang lebih lama berbanding pesawat yang dihadiahkan Qatar.
Trump dilaporkan berang selepas The New York Times mendedahkan sebab pertukaran pesawat itu kerana menganggap kebocoran maklumat tersebut sebagai risiko keselamatan, manakala pentadbirannya berusaha mengenal pasti pihak yang membocorkan maklumat berkenaan.
Sumber sama berkata, Trump turut mendesak supaya harga petrol diturunkan menjelang pilihan raya pertengahan penggal, selain dilaporkan kurang bimbang berbanding penasihatnya terhadap kesan politik akibat perang tersebut.- ANADOLU










