Tak malu ke Malaysia dikenali sebagai juara korupsi - Anwar Ibrahim - Utusan Malaysia

Tak malu ke Malaysia dikenali sebagai juara korupsi – Anwar Ibrahim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa pemimpin parti politik lawan tidak belajar daripada isu korupsi dilakukan terdahulu termasuklah melibatkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Anwar yang juga Perdana Menteri sehubungan itu berkata, pengundi Johor perlu memberi pengajaran kepada pemimpin-pemimpin tersebut bagi memastikan negara tidak terus terpalit dengan isu-isu menjejaskan imej negara.

“Mereka tahu masalah dihadapi rakyat, mereka tahu satu dunia cakap pasal 1MDB, tetapi mereka tidak belajar daripada perkara lalu. Tak malu ke satu dunia tahu Malaysia juara dalam korupsi.

“Oleh itu, rakyat Johor, pengundi Johor perlu ajar mereka, bila waktu untuk ajar mereka, esok pada hari mengundi,” katanya ketika berucap pada Program Grand Finale Johor Ke Depan Undi Harapan di sini, malam ini.

Tambah Anwar, rakyat Malaysia perlu menolak pemimpin politik yang terus menerus memainkan isu dan sentimen perkauman sekiranya mahu melihat negara ini maju menjelang tahun-tahun akan datang.

“Saya bangga menjadi Melayu, saya nak Islam diangkat, Bahasa Melayu dimartabat, kampung Melayu dibangunkan. Tetapi pada masa sama saya juga mahu bantu masyarakat Cina, India, Sabah dan Sarawak.

“Bukan macam mereka berpolitik, kata nak tolong Melayu tetapi tekan bukan Melayu. Ada bekas menteri miliki kekayaan RM4 bilion, ada bekas menteri yang sudah meninggal ada kekayaan RM2 bilion. Tetapi apabila mereka turun jumpa rakyat jerit hidup Melayu.

“Namun masyarakat Melayu sekarang sudah matang, kita akan cari pemimpin Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak yang baik. Bukan pemimpin yang ambil komisen beli helikopter, kereta kebal atau kapal selam,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook pula berkata, tiada mana-mana pemimpin parti politik yang boleh menolak untuk bekerjasama dengan pemimpin DAP di negara ini.

“Ada pihak kata tidak mahu duduk semeja dengan DAP. Mahu duduk semeja atau tidak itu bukan hak kamu, itu hak rakyat yang akan tentukan esok. DAP bukan nak lawan Melayu, kita nak duduk dan bekerja bersama-sama bangunkan Malaysia.

“Saya sokong Melayu, Anwar Ibrahim seorang pemimpin Melayu dan saya sokong beliau. Tetapi mestilah Melayu yang berprinsip, bukan individu Melayu yang bersikap kleptokrat.

“DAP sedar negara ini akan terus kekal diterajui pemimpin Melayu. Kita tiada masalah dengan perkara itu,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN