Taiwan isytihar cuti hadapi Taufan Bavi

Taiwan isytihar cuti hadapi Taufan Bavi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPEI: Kerajaan Taiwan memindahkan lebih 14,000 penduduk dari kawasan yang kebanyakannya berbukit dan bergunung sebagai langkah berjaga-jaga ketika pulau itu menghentikan operasi bagi menghadapi Taufan Bavi yang dijangka membawa hujan lebat serta angin kencang di kawasan terdedah.

Walaupun Bavi yang semakin lemah secara beransur-ansur tidak akan melanda Taiwan secara langsung, kerajaan mengambil semua langkah pencegahan bagi mengelakkan kehilangan nyawa, berikutan ramalan hujan sehingga hampir satu meter (3.3 kaki) di beberapa kawasan.

Kebanyakan penduduk yang dipindahkan berada di kawasan utara dan timur Taiwan. Sebanyak 917 penerbangan antarabangsa dibatalkan, selain semua 274 penerbangan domestik.

Hampir semua bandar dan daerah di seluruh Taiwan mengisytiharkan cuti taufan pada Sabtu, dengan pejabat serta sekolah yang sepatutnya beroperasi pada hujung minggu ditutup.

Laluan utama kereta api berkelajuan tinggi dari utara ke selatan negara itu masih beroperasi, namun dengan perkhidmatan yang dikurangkan.

Di ibu negara Taipei, angin kencang dan hujan melanda beberapa kawasan, namun masih terdapat penduduk yang berada di luar.

“Ia tidak mengapa, keadaan tidak begitu serius. Cuma anginnya sedikit lebih kuat,” kata penduduk Taipei, Yeh Mao-hsiung, 68, yang keluar berjalan pada waktu pagi bersama anjingnya.

Selepas bergerak melepasi Taiwan ke arah timur laut dan melintasi Kepulauan Sakishima milik Jepun, iaitu rangkaian pulau terpencil yang merupakan sebahagian daripada Wilayah Okinawa, Taufan Bavi diramal melanda bandar Wenzhou di timur China pada awal Ahad.

Bandar Wenzhou itu mempunyai populasi kira-kira 10 juta penduduk.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN