Sze Fei-Izzuddin, Azriyn-Wee Kiong turut terkandas

Sze Fei-Izzuddin, Azriyn-Wee Kiong turut terkandas

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu lelaki profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani yang membawa harapan negara untuk menempah slot suku akhir turut terkandas di peringkat 16 terbaik pada Kejohanan Badminton Terbuka China di Jiangsu, China, hari ini.

Pasangan No. 6 dunia itu tewas kepada beregu Denmark yang menghuni ranking ke-16 dunia, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard 19-21, 21-12, 19-21 dalam masa 56 minit.

Kekalahan itu menyaksikan Sze Fei-Izzuddin gagal menebus kegagalan mereka di tangan lawan yang sama pada final Malaysia Masters, Mei lalu.

Lundgaard-Vestergaard juga berjaya memintas rekod pertemuan kedua-dua beregu yang kini meletakkan mereka mendahului Sze Fei-Izzuddin 4-3.

Izzuddin berkata, fokus yang terganggu menjadi punca mereka gagal bermain dengan baik.

“Fokus memang banyak kacau, dari situ kita terjejas, silap kami juga terikut-ikut dengan rentak permainan lawan.

“Ini satu pengajaran buat kami kerana membiarkan lawan mengganggu fokus kami. Kami harap tidak ulang kesilapan sama pada masa akan datang,” katanya sewaktu ditemu bual oleh wakil BWF selepas perlawanan berakhir.

Turut mengikut jejak langkah Sze Fei-Izzuddin, satu lagi gandingan profesional Malaysia, Nur Azriyn Ayub Azriyn-Tan Wee Kiong yang tunduk kepada beregu No. 1 dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan 13-21, 19-21 dalam masa 36 minit.

Kegagalan tersebut membuka laluan kepada Won Ho-Seo Seung memintas untuk mendahului Azriyn-Wee Kiong dengan rekod pertemuan 2-1.

Tersingkirnya Sze Fei-Izzuddin dan Azriyn-Wee Kiong, maka, berakhir cabaran beregu lelaki negara pada Terbuka China yang berstatus Super 1,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN