GENEVA: Usaha Sri Lanka mengurangkan kesesakan di pusat tahanan dengan membuka semula penjara era penjajah serta merekrut lebih ramai kakitangan selepas rusuhan maut yang mengorbankan 28 nyawa, perlu disertai komitmen terhadap amalan terbaik antarabangsa.
Kumpulan pejuang hak asasi berkata kesesakan melampau menjadi punca utama tercetusnya rusuhan itu, sambil menyifatkan masalah berkenaan sebagai isu kronik dalam sistem penjara Sri Lanka.
“Banduan merujuk kepada pengaturan tidur mereka sebagai ‘pembungkusan salmon’ di mana mereka perlu tidur berbaring dari hujung ke hujung dalam syif pada waktu malam,” kata pengurus projek di Jawatankuasa Perlindungan Hak Banduan, Rasika Gunawardana.
Menurut pihak berkuasa, lapan pegawai penjara dan 20 banduan terbunuh dalam pertempuran selama dua hari antara dua kumpulan banduan di sebuah penjara di bandar pesisir Negombo, kira-kira 35 kilometer (km) di utara Colombo.
Insiden itu disifatkan sebagai rusuhan penjara paling buruk di Sri Lanka sejak 2012.
Penjara Negombo dibina untuk menempatkan kira-kira 650 banduan, namun ketika keganasan tercetus, jumlah penghuninya mencecah sekitar 2,400 orang.
Secara keseluruhan, 22 penjara di Sri Lanka kini menempatkan kira-kira 41,000 banduan, hampir empat kali ganda melebihi kapasiti sebenar, menurut pihak berkuasa.
Sistem penjara Sri Lanka turut tertekan akibat kempen membanteras dadah, dengan jumlah pesalah berkaitan kes dadah meningkat daripada 9,344 orang pada 2021 kepada 31,314 orang pada 2024, merangkumi 65.5 peratus daripada keseluruhan populasi banduan, menurut data terkini Jabatan Penjara.
“Apa yang perlu dilakukan ialah mencegah orang ramai daripada terlibat dengan kesalahan undang-undang, mengelakkan penahanan serta menangani masalah pemenjaraan berlebihan.
“Bukti di negara lain menunjukkan perkhidmatan pengurangan kemudaratan, terapi penggantian opioid dan pilihan rawatan berasaskan komuniti serta bukti saintifik, berkesan dalam menangani kebergantungan terhadap dadah,” kata bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Sri Lanka, Ambika Satkunanathan.
Rancangan untuk merekrut kira-kira 1,300 kakitangan penjara berjalan perlahan berikutan kerenah birokrasi serta kurangnya minat terhadap pekerjaan berkenaan, kata Menteri Kehakiman dan Integrasi Nasional Sri Lanka, Harshana Nanayakkara, kepada Parlimen.
“Golongan berkelulusan dari sekolah ternama tidak lagi memohon untuk bekerja di penjara. Permintaan terhadap pekerjaan ini menurun secara mendadak,” katanya.
Kementerian itu turut membatalkan rancangan menukar sebuah penjara lama peninggalan era penjajah yang ditutup pada 2014 kepada hotel, sebaliknya akan menempatkan kira-kira 2,000 banduan di fasiliti berkenaan.
Sebahagian daripada sebuah hospital yang tidak lagi digunakan di bandar Galle, selatan negara itu, juga akan dijadikan tempat menempatkan banduan, manakala rancangan membina penjara baharu dalam kawasan kem tentera laut di pinggir Colombo sedang dirangka.
Sri Lanka turut mengkaji semula undang-undang bagi membolehkan tahanan reman berisiko rendah menjalani tahanan di rumah.- AGENSI









