PARIS: Seutas rantai leher emas berusia kira-kira 2,500 tahun dilarikan dalam satu kejadian kecurian di sebuah muzium di timur Perancis kelmarin.
Pendakwa Raya Dijon, Olivier Caracotch, berkata suspek memecahkan kotak pameran kaca yang menempatkan barangan kemas era Celtic itu di Muzium Chatillon-sur-Seine di wilayah Burgundy.
Datuk Bandar tempatan, Jeremie Brigand, berkata muzium tersebut sebelum ini turut menjadi sasaran dua cubaan pecah masuk dalam tempoh terdekat sebelum kejadian kecurian berlaku pada Jumaat.
Menurutnya, walaupun pihak muzium memperketatkan langkah keselamatan susulan dua cubaan terdahulu, kumpulan pencuri terbabit dilaporkan bertindak secara terancang dan pantas sehingga berjaya melarikan rantai leher berkenaan.
“Suspek bertindak pada waktu siang untuk mencuri rantai leher itu meskipun terdapat pengunjung, kakitangan dan anggota keselamatan di lokasi,” katanya.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu, katanya. Rantai leher emas seberat kira-kira 0.5 kilogram (kg) itu dipercayai digunakan sebagai perhiasan serta lambang kuasa oleh masyarakat Celt dan Gaul pada zaman dahulu.
Artifak berkenaan merupakan sebahagian daripada Khazanah Vix yang dipamerkan di muzium itu, iaitu koleksi barangan pengebumian seorang puteri yang ditemukan pada 1053 di perkampungan Vix berhampiran.
Awal minggu ini, Muzium Louvre di Paris dibuka semula selepas Galeri Apollo menjadi sasaran pencuri pada Oktober lalu, yang melarikan lapan artifak dianggarkan bernilai kira-kira AS$100 juta (RM409 juta).- AFP










