Piala ASEAN FIFA: Harimau Malaya, Indonesia dalam Kumpulan A

Piala ASEAN FIFA: Harimau Malaya, Indonesia dalam Kumpulan A

MALAYSIA diundi dalam Kumpulan A bagi saingan Piala ASEAN FIFA 2026.-IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya bakal berdepan cabaran getir apabila diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Indonesia, India dan Singapura bagi saingan Divisyen 1 Piala ASEAN FIFA 2026 yang akan berlangsung di Indonesia dari 24 September hingga 3 Oktober depan.

Keputusan undian itu menyaksikan Malaysia sekali lagi dipertemukan dengan beberapa pencabar utama rantau Asia Tenggara selain perlu berdepan kebangkitan India yang semakin menunjukkan peningkatan di pentas antarabangsa.

Kehadiran Indonesia selaku tuan rumah dijangka menjadikan saingan Kumpulan A lebih mencabar dengan skuad Garuda pasti memperoleh sokongan padu ribuan penyokong fanatik mereka sepanjang kejohanan berlangsung.

Selain Indonesia, Singapura turut dilihat mampu memberi tentangan sengit berdasarkan sejarah persaingan panjang antara kedua-dua negara, manakala India hadir sebagai pasukan jemputan yang memiliki reputasi tersendiri dalam bola sepak Asia.

Undian tersebut membuka peluang kepada Malaysia untuk mengukur kemampuan sebenar mereka menentang lawan yang mempunyai gaya permainan berbeza dalam usaha memburu tempat ke pusingan seterusnya.

Piala ASEAN FIFA 2026 merupakan kejohanan baharu yang mendapat pengiktirafan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan dijangka menghimpunkan pasukan terbaik rantau Asia Tenggara serta beberapa negara jemputan bagi meningkatkan tahap persaingan dan nilai komersial kejohanan tersebut.

Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai format pertandingan, sistem kelayakan serta tarikh penuh perlawanan bagi setiap pasukan akan diumumkan kemudian selepas mendapat pengesahan pihak penganjur.

Apa yang pasti, undian kali ini menjanjikan aksi berintensiti tinggi apabila Malaysia bakal berdepan tiga lawan yang memiliki kekuatan tersendiri dalam usaha memburu kejuaraan sulung Piala ASEAN FIFA dan mengangkat martabat bola sepak negara di pentas serantau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN