Pearly-Thinaah wakil tunggal Malaysia ke suku akhir Terbuka China

Pearly-Thinaah wakil tunggal Malaysia ke suku akhir Terbuka China

Pearly Tan-M. Thinaah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah menjadi wakil tunggal Malaysia berjaya mara ke suku akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka China di Jiangsu, China, esok.

Gandingan No. 5 dunia itu melakar kemenangan straight set ke atas beregu muda Ukraine, Polina Buhrova-Yevheniia Kantemyr 21-19, 21-12 dalam masa 30 minit di peringkat 16 terbaik, hari ini.

Esok, Pearly-Thinaah bakal berdepan ujian sebenar menentang beregu handalan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto.

Berdasarkan rekod pertemuan, Pearly-Thinaah mendahului dengan lima kemenangan daripada sembilan pertembungan dengan beregu No. 3 dunia itu.

Bagaimanapun, dalam tiga perlawanan terakhir, kesemua kemenangan berpihak kepada Fukushima-Matsumoto dan yang terkini, Pearly-Thinaah tewas kepada gandingan No. 1 Jepun itu pada separuh akhir Terbuka India, Januari lalu.

Selepas itu, kedua-dua beregu tidak pernah bertemu di antara satu sama lain, sehinggalah Pearly Tan pulih daripada kecederaan belakang.

Dengan tahap kecergasan Pearly yang masih belum pulih sepenuhnya, cabaran besar menanti bekas pasangan No. 2 dunia itu.

Semalam, anak jati Kedah itu mengakui dirinya hanya berada sekitar 70-80 peratus tahap kecergasan dan masih berusaha untuk kembali berada pada kualiti permainan sebenarnya.

“Terima kasih kepada Thinaah kerana sentiasa ‘cover’ saya, jadi saya boleh lakukan apa sahaja yang saya mahu di gelanggang kerana saya tahu saya mempunyai pasangan di sisi saya,” katanya.

Pearly-Thinaah merupakan wakil tunggal Malaysia yang berjaya mara ke suku akhir, selepas tujuh lagi wakil negara iaitu empat beregu lelaki, dua gandingan campuran dan satu perseorangan lelaki terkandas, hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN