PETALING JAYA: Beregu wanita No. 5 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah meneruskan kemaraan ke pusingan kedua, selepas membenam pasangan Jepun, Mao Hatasue-Kanano Muroya di peringkat 32 terbaik pada Kejohanan Badminton Terbuka Taiwan di Taipei City, Taiwan, hari ini.
Diletakkan selaku pilihan pertama, Pearly-Thinaah melakar kemenangan straight set ke atas beregu muda Jepun itu 21-15, 21-17 dalam masa 38 minit.
Pada peringkat 16 terbaik, esok, gandingan No. 1 Malaysia tersebut bakal berdepan pasangan tuan rumah, Chen Yan Fei-Sun Liang Ching yang menghuni ranking ke-48 dunia.
Turut mengikut jejak langkah Pearly-Thinaah, beregu remaja negara, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan yang tidak berdepan masalah menyingkirkan Lin Xiao Min-Peng Yu Wei dari Taiwan 21-17, 21-10 dalam masa 25 minit.
Kejayaan yang dicatat pasangan No. 67 dunia itu menemukan mereka dengan satu lagi beregu tuan rumah, Hsu Yin Hui-Lin Jhih Yun di pusingan kedua.
Bagaimanapun, satu lagi beregu muda, Ong Xin Yee-Carmen Ting gagal mengikut jejak langkah Pearly-Thinaah dan Zi Yu-Noraqilah, apabila tewas kepada Hathaithip Mijad-Napapakorn Tungkasatan dari Thailand 19-21, 17-21 dalam masa 46 minit.
Sementara itu, dalam saingan beregu lelaki, pasangan pecah ganding, Aaron Chia-Aaron Tai dipaksa bermain sehingga ke rubber set sebelum meraih kemenangan ke atas wakil tuan rumah, Wu Guan Xun-Wu Hsuan Yi 18-21, 21-9, 21-14 dalam masa 44 minit.
Pada pusingan seterusnya, Aaron-Aaron akan melayan tentangan satu lagi beregu Taiwan, Lai Po Yu-Tsai Fu Cheng bagi memburu slot ke suku akhir.
Dua lagi pasangan pecah ganding, Man Wei Chong-Soh Wooi Yik dan Arif Junaidi-Kang Khai Xing gagal meneruskan kemaraan apabila tumpas kepada lawan masing-masing.
Wei Chong-Wooi Yik beraksi hambar apabila tumpas di tangan pasangan kurang ternama Jepun, Haruki Kawabe-Kenta Matsukawa 9-21, 22-20, 14-21 dalam masa 48 minit.
Arif-Khai Xing pula ditunjukkan jalan keluar oleh beregu muda Indonesia, Ali Faathir Rayhan-Devin Artha Wahyudi 17-21, 22-24 dalam masa 36 minit.
Dalam saingan perseorangan lelaki pula,
Eogene Ewe mengambil masa selama 53 minit untuk mengetepikan Saneeth Dayanand dari India 21-4, 19-21, 21-12.
Pada peringkat 16 terbaik, Eogene terpaksa mengharungi laluan getir apabila dijangka bertemu bintang No. 6 dunia, Chou Tien Chen yang masih segar dengan kejayaannya merangkul gelaran pada Terbuka China, minggu lalu. – UTUSAN









