PETALING JAYA: Beregu wanita No. 5 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah mara ke suku akhir selepas mudah membenam pasangan Thailand, Hathaithip Mijad-Napapakorn Tungkasatan di peringkat 16 terbaik pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Aichi, Jepun, hari ini.
Pearly-Thinaah melakar kemenangan straight set ke atas beregu ke-36 dunia itu 21-8, 21-12 dalam masa 29 minit di Gimnasium Perbandaran Bandar Ichinomiya.
Pada suku akhir, esok, beregu wanita No. 1 Malaysia itu bakal berdepan sama ada wakil tuan rumah, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto ataupun Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela dari India.
Sementara itu, dalam aksi perseorangan lelaki, dua wakil negara, Justin Hoh dan Leong Jun Hao melepasi halangan peringkat 32 terbaik selepas mengetepikan pencabar masing-masing.
Pemain ke-48 dunia, Justin hanya mengambil masa 24 minit untuk menyingkirkan Gourab Singha dari Bangladesh 21-8, 21-7 dalam masa 24 minit.
Ujian getir menanti anak jati Kuala Lumpur itu apabila dijadual bertemu wakil Singapura, Loh Kean Yew yang menghuni ranking No. 13 dunia di peringkat 16 terbaik.
Jun Hao pula turut tidak menghadapi masalah untuk mengalahkan Batdavaa Munkhbat dari Mongolia 21-11, 21-14 dalam masa 24 minit.
Seperti mana Justin, pemain menghuni ranking ke-33 dunia itu bakal berdepan laluan sukar apabila perlu menentang bintang No. 10 dunia, Alwi Farhan dari Indonesia jika berhasrat memburu slot suku akhir.
Bagaimanapun, nasib berbeza dialami wakil perseorangan wanita, Wong Ling Ching yang terpaksa akur kepada Unnati Hooda dari India 14-21, 22-20, 19-21 dalam masa 1 jam 19 minit. – UTUSAN











