PETALING JAYA: Beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah menepati status selaku pilihan pertama apabila menempah slot ke separuh akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Taiwan di Taipei City, Taiwan, esok.
Gandingan No. 5 dunia itu menyingkirkan beregu tuan rumah, Lin Chih Chun-Yang Chu Yun 21-14, 21-17 dalam masa 35 minit pada suku akhir, hari ini.
Kejayaan tersebut meletakkan bekas pasangan No. 2 dunia itu kini mendahului Chin Chun-Chu Yun yang merupakan beregu No. 39 dunia dengan rekod pertemuan 1-0.
Pada separuh akhir, Pearly-Thinaah yang mencari ‘tonik’ menjelang Kejuaraan Dunia di India, Ogos ini, akan melayan tentangan daripada gandingan No. 27 dunia dari Amerika Syarikat, Francesca Corbett-Jennie Gai.
Berdasarkan rekod pertemuan, Pearly-Thinaah seharusnya lebih yakin berdepan Corbett-Jennie yang pernah mereka tewaskan sebanyak dua kali.
Turut mengikut jejak langkah Pearly-Thinaah ialah beregu lelaki, Aaron Chia-Aaron Tai yang melakar kejutan ke atas pasangan No. 17 dunia, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan dari Taiwan 15-21, 21-7, 21-18 dalam masa 44 minit.
Aaron-Aaron yang tidak sampai dua minggu bergandingan bersama dan kini menghuni ranking ke-378 dunia bakal berdepan satu lagi wakil tuan rumah, Chen Cheng Kuan-Liu Kuang Heng yang berada di tangga No. 82 dunia.
Sementara itu, dua lagi wakil Malaysia, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan dan Justin Hoh terkandas di suku akhir.
Zi Yu-Noraqilah tewas kepada beregu No. 36 dunia, Hathaithip Mijad-Napapakorn Tungkasatan dari Thailand 21-11, 20-22, 22-24 dalam masa 1 jam 5 minit.
Justin pula tewas straight set di tangan pemain No. 73 dunia, Yoo Tae Bin dari Korea Selatan 17-21, 18-21 dalam masa 40 minit. – UTUSAN










