KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto secara rasmi menamatkan khidmatnya bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada penghujung bulan ini selepas lebih tiga tahun membimbing skuad kebangsaan.
Jurulatih dari Indonesia itu meninggalkan legasi cukup bermakna apabila menghadiahkan gelaran dunia pertama buat Malaysia dalam acara beregu campuran menerusi gandingan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei di Kejohanan Badminton Dunia 2025.
Nova berkata, peluang menjadi sebahagian daripada keluarga badminton Malaysia adalah satu penghormatan yang akan sentiasa dikenangnya.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada BAM kerana memberi peluang kepada saya menjadi sebahagian daripada keluarga badminton Malaysia.
“Selain berpeluang bekerja bersama pemain, jurulatih dan kakitangan sokongan yang hebat, dan saya amat menghargai segala sokongan yang diterima sepanjang berada di Malaysia,” kata Nova menerusi kenyataan hari ini.
Beliau turut mendoakan agar BAM terus melakar lebih banyak kejayaan pada masa depan sambil mengucapkan selamat tinggal kepada seluruh warga badminton negara dengan penuh penghargaan. – UTUSAN










