Mampukah BN kekalkan pertadbiran?

Mampukah BN kekalkan pertadbiran?

AWANG AZMAN AWANG PAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pilihan Raya Ne­geri (PRN) Johor ke-16 mencapai kemuncaknya hari ini setelah seramai 172 calon daripada pelbagai parti politik menghabiskan tempoh 14 hari berkempen menyantuni seramai mungkin pe­ngundi sejak Hari Penamaan Calon pada 27 Jun lalu.

Persoalan utama yang bakal terjawab adalah sama ada Barisan Nasional (BN) dapat kekalkan pentadbiran kerajaan negeri sedia ada yang dimenangi sebelum ini dengan memperoleh 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Ne­geri (DUN) dipertandingkan.

Bagaimanapun, tempoh berkempen ini menyaksikan dinamik politik kerap berubah apabila bacaan berbeza-beza diterima, antaranya adalah kemenangan sekali lagi kepada BN, atau teraju kepimpinan Johor diambil alih Pakatan Harapan (PH).

Kedua-dua gabungan itu pasti menjadi pilihan utama melibatkan seramai 2,727,926 pemilih berdaftar yang layak memandangkan hanya BN dan PH yang meletakkan calon di kesemua 56 kerusi DUN, manakala Perikatan Nasional (PN) sekadar bertanding 33 kerusi; Parti Bersama Malaysia (Bersama) 15 kerusi; Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) enam kerusi; Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Orang Asli Malaysia (Asli) masing-masing satu kerusi serta enam calon bebas.

Penganalisis sosiopolitik, Profesor Datuk Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, BN masih mempunyai peluang paling besar untuk memenangi PRN Johor sekaligus membentuk kerajaan negeri.

Menurutnya, beberapa faktor boleh dilihat adalah sebagai kerajaan negeri penyandangnya dengan mandat lebih dua pertiga; kepimpinan Onn Hafiz yang jelas matlamat dan hala tuju; pembangkang ekonomi pesat serta pergilah dalaman parti-parti lawan BN sendiri.

“Setakat minggu pertama kempen, anggaran paling munasabah pada peringkat ini adalah BN mampu peroleh antara 38 hingga 46 kerusi; PH sekitar lapan hingga 14 kerusi manakala parti-parti lain sama ada tidak memenangi mana-mana kerusi sehingga lima kerusi secara keseluruhan.

“Ini ialah unjuran analitis, bukan ramalan muktamad. Dalam senario gelombang sangat kuat kepada BN, jumlahnya boleh melebihi 46 kerusi. Penguasaan BN hampir pasti namun angka itu boleh berubah mengikut sentimen beberapa hari sebelum me­ngundi,” katanya ketika dihubungi.

Tambah beliau, kekuatan terbesar BN adalah rekod pentadbiran, kestabilan antara parti-parti komponen dan jenteranya yang tersusun, namun kelemahan boleh berlaku sekiranya penyokong terlalu yakin sehingga ramai tidak keluar mengundi menyebabkan beberapa kerusi marginal kecil boleh tewas.

“Bagi PH pula, kekuatan utama adalah di kawasan bandar dan kawasan ramai pengundi Cina, pengundi berpendidikan tinggi, kelas menengah dan sebahagian pengundi muda. Tetapi mereka berdepan cabaran menembusi kawasan majoriti Melayu, tiada kelebihan penyandang kerajaan negeri serta kehadiran Bersama yang dilihat boleh memecahkan undi penyokong tegar mereka.

“PH mungkin dapat mempertahankan sebahagian besar kerusi yang merupakan kubu kuat mereka, tetapi laluan untuk mencapai jumlah 29 kerusi bagi menubuhkan kerajaan negeri dilihat masih sukar,” katanya.

Awang Azman turut berkata, beberapa kerusi DUN bukan sahaja akan menjadi tumpuan pada PRN Johor kali ini, tetapi ia juga akan memberikan petunjuk jelas tentang hala tuju politik di negeri ini.

“Kerusi-kerusi berkenaan termasuk Puteri Wangsa, Maharani, Bukit Batu, Bukit Pasir, Parit Yaani, Tangkak, Johor Jaya, Kota Iskandar dan Serom.

“Kerusi-kerusi ini bukan sahaja bersifat simbolik tetapi turut menyaksikan penyandangnya memenangi dengan jumlah undi yang marginal sekaligus menyaksikan ia boleh berpihak kepada mana-mana parti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN