Malaysia Airlines, JDT kekal rakan strategik tiga tahun lagi

Malaysia Airlines, JDT kekal rakan strategik tiga tahun lagi

JDT dan Malaysia Airlines meneruskan kerjasama untuk tiga tahun lagi.-IHSAN JST
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengukuhkan kedudukannya apabila memperbaharui kerjasama strategik bersama syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines untuk tempoh tiga tahun lagi.

Pembaharuan perjanjian itu bukan sahaja memperlihatkan kepercayaan berterusan antara kedua-dua pihak, malah membuktikan nilai komersial serta kekuatan jenama Harimau Selatan yang semakin mendapat perhatian syarikat korporat terkemuka.

Perkembangan berkenaan diumumkan menerusi kenyataan rasmi Johor Southern Tigers di platform media sosial kelab semalam, sekali gus memberi khabar gembira kepada penyokong yang bakal menikmati pelbagai manfaat eksklusif hasil kerjasama tersebut.

Majlis pertukaran dokumen bagi memeterai perjanjian baharu itu berlangsung di Ibu Pejabat JDT di Stadium Sultan Ibrahim dengan disaksikan wakil tertinggi kedua-dua organisasi.

JDT diwakili Ketua Pegawai Operasi dan Pengarah Teknikalnya, Alistair Edwards, manakala Malaysia Airlines diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Kapten Nasaruddin A. Bakar.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Penerbangan MAG, Bryan Foong serta Pengurus Operasi JDT, Sukri Mosman.

Kerjasama yang diteruskan itu dilihat selari dengan aspirasi JDT untuk terus memperkukuhkan jenama kelab di peringkat domestik dan antarabangsa, selain memastikan aspek perjalanan pasukan dan penyokong berada pada tahap terbaik.

Menerusi lanjutan perjanjian berkenaan, Malaysia Airlines akan menawarkan pelbagai promosi istimewa kepada penyokong Harimau Selatan sebagai sebahagian daripada penghargaan terhadap komuniti penyokong yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada kelab.

Antara tawaran utama yang diumumkan ialah diskaun sehingga 10 peratus bagi penerbangan yang layak menerusi penggunaan kod promosi FYXMYFC.

Promosi tersebut boleh ditebus mulai sekarang sehingga 30 September 2026, manakala tempoh perjalanan yang layak digunakan adalah sehingga 31 Disember 2026.

Langkah itu dijangka memberi nilai tambah kepada penyokong JDT yang sering mengikuti pasukan kesayangan mereka beraksi di pelbagai destinasi, selain mengukuhkan lagi hubungan antara kelab dan penyokong.

Dengan pembaharuan kerjasama ini, JDT sekali lagi membuktikan status mereka sebagai penanda aras pengurusan profesional bola sepak negara, sambil terus mengembangkan pengaruh jenama Harimau Selatan bersama rakan strategik yang berkongsi visi dan cita-cita besar.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN