Kucing digunakan untuk bakar hutan Itali

Kucing digunakan untuk bakar hutan Itali

KEBAKARAN hutan yang memusnahkan kawasan di Sagana, wilayah Monreale, Sicily.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SICILY: Beberapa ekor kucing ditemukan dengan kain direndam bahan mudah terbakar dan diikat pada ekor, dipercayai menjadi antara bukti perbuatan khianat dalam kebakaran hutan yang melanda selatan Itali minggu ini.

Pegawai Agensi Perlindungan Awam Calabria, Domenico Costarella, dalam video dimuat naik di Facebook berkata haiwan berkenaan dipercayai dilepaskan ke kawasan padang untuk bergerak dan menyebarkan kebakaran.

Beliau berkata, bukti lain turut menunjukkan kemungkinan berlaku pembakaran sengaja, termasuk lilin yang dinyalakan berhampiran kain mudah terbakar serta alat pencetus api.

Bomba masih berusaha mengawal kebakaran di sekitar Taman Negara Pollino, dengan lebih 160 operasi di seluruh Calabria setakat Rabu lalu.

Sementara itu, Persatuan Pertahanan Haiwan dan Alam Sekitar Itali memfailkan aduan jenayah serta menawarkan ganjaran sebanyak 1,000 euro (RM4,652) bagi mendapatkan maklumat mengenai pihak yang dipercayai menyebabkan kucing-kucing berkenaan dibakar.

Menurut Sistem Maklumat Kebakaran Hutan Eropah (EFFIS), benua itu berdepan musim kebakaran hutan yang buruk tahun ini.

Walaupun keadaan kebakaran di Eropah pada 2026 secara keseluruhannya lebih baik berbanding tahun sebelumnya, musim kebakaran di benua tersebut masih melebihi purata 20 tahun, kata EFFIS.

Penggunaan kucing untuk menyebarkan kebakaran bukan perkara baharu di selatan Itali. Pada 2016, pihak berkuasa Sicily menuduh kumpulan mafia menggunakan kucing untuk mencetuskan kebakaran hutan di sebuah taman negara.

Setahun kemudian, pegawai berkata taktik sama digunakan bagi mencetuskan kebakaran di kawasan luar bandar berhampiran Naples, berdekatan Gunung Vesuvius.- CNN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN