KUALA LUMPUR: Beban kos kesihatan dan ekonomi akibat penyakit berkaitan penggunaan vape dianggarkan mencecah kira-kira RM369 juta setahun, melebihi jumlah hasil duti eksais produk itu yang dikutip kerajaan.
Kementerian Kesihatan (KKM) bagaimanapun menegaskan, kutipan hasil duti eksais bukanlah justifikasi untuk membenarkan penjualan produk vape di pasaran.
“Bagi tempoh pelaksanaan duti eksais terhadap produk rokok elektronik atau vape, jumlah kutipan yang direkodkan adalah sebanyak RM80.32 juta pada 2023, meningkat kepada RM111.14 juta pada 2024 dan RM118.93 juta pada 2025.
“Bagi tempoh 1 Januari hingga 11 Jun tahun ini, kutipan direkodkan bernilai RM44.11 juta menjadikan jumlah keseluruhan kutipan duti eksais adalah sebanyak RM354.51 juta,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.
KKM menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew berhubung cadangan pengharaman vape, jumlah kutipan hasil cukai dan justifikasi membenarkan penjualan produk itu susulan risiko kesihatan yang tinggi.
Mengulas lanjut, KKM memaklumkan sedang memperkukuh kawalan terhadap produk berisiko tinggi termasuk meneliti cadangan mengharamkan vape jenis berbotol berikutan risiko cecairnya dicampur dengan dadah dan bahan terlarang.
Menurutnya, sebarang keputusan rasmi termasuk cadangan pengharaman yang lebih menyeluruh akan terus dinilai berdasarkan bukti saintifik, data semasa dan kepentingan kesihatan awam.
“Buat masa ini, kerajaan memberikan tumpuan penuh kepada pelaksanaan dan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852] yang menyediakan kerangka kawal selia komprehensif terhadap semua produk merokok termasuk vape.
“Keutamaan diberikan kepada penguatkuasaan akta itu bagi melindungi orang belum dewasa (OBD) iaitu individu berumur di bawah 18 tahun.
“Hal ini selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 13(1) yang melarang penjualan produk merokok kepada OBD, Seksyen 13(3) melarang pembelian oleh OBD serta Seksyen 17 melarang penggunaan mana-mana produk merokok oleh golongan berkenaan,” jelasnya.
KKM turut memaklumkan pendekatan kawal selia yang tegas menerusi Akta 852 bertujuan mengurangkan akses dan penggunaan produk merokok bagi melindungi kesihatan awam khususnya kanak-kanak dan remaja.-UTUSAN










