KOLKATA: Protes tercetus di Bengal Barat, India, selepas kes rogol dan pembunuhan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun mencetuskan kemarahan awam, diikuti tindakan penduduk membunuh seorang lelaki tidak bersalah serta kematian seorang suspek yang ditembak polis.
Kemarahaan mula memuncak pada Ahad selepas mayat kanak-kanak yang dilaporkan hilang ditemukan di sebuah kolam di sebuah bandar berhampiran Kolkata, ibu negeri Bengal Barat.
Polis berkata, mangsa dipercayai dirogol sebelum dimasukkan ke dalam guni dan dicampakkan ke dalam kolam ketika masih hidup. Menurut laporan bedah siasat, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala selain terdapat kesan gigitan dan calar pada tubuh.
Kejadian kejam itu mencetuskan kemarahan penduduk setempat yang kemudian menyerang seorang lelaki berusia 26 tahun kerana menyangka dia bertanggungjawab terhadap jenayah berkenaan.
Bagaimanapun, ketika polis menahan suspek utama pada Isnin, mereka mengesahkan lelaki yang dibunuh penduduk itu bukan antara individu yang ditahan berkaitan kes tersebut.
Insiden itu kemudian bertukar menjadi pertikaian politik selepas kerajaan negeri yang baru dipilih, diterajui parti Bharatiya Janata (BJP) yang turut menguasai kerajaan pusat, dituduh pihak pembangkang gagal melindungi wanita serta menyebabkan kemerosotan tahap keselamatan dan ketenteraman awam di negeri berkenaan.
Ahli keluarga mangsa mendakwa polis pada awalnya tidak mengambil serius laporan kehilangan kanak-kanak itu, malah mereka terpaksa mencari sendiri dengan memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekitar. Polis belum memberikan maklum balas terhadap dakwaan berkenaan.
Dalam protes yang tercetus selepas mayat mangsa ditemukan, beberapa kedai tempatan dirosakkan manakala anggota polis turut menjadi sasaran kemarahan penduduk.
Ketegangan meningkat lagi pada Selasa selepas polis menembak mati Pravash Mondal, suspek utama, berikutan dakwaan dia cuba merampas senjata api polis dan melarikan diri, menurut pegawai di lokasi kejadian.
Bagaimanapun, keadaan sekitar apa yang disifatkan sebagai ‘pembunuhan dalam pertembungan’ oleh polis itu dipersoalkan pihak pembangkang yang mendakwa ia menimbulkan kebimbangan terhadap kedaulatan undang-undang.
Kes tembakan polis terhadap suspek jenayah seumpama itu banyak dilaporkan berlaku di negeri-negeri lain yang ditadbir BJP, namun sebelum ini kejadian sedemikian jarang berlaku di Bengal Barat.
Penyokong BJP dan parti pembangkang Trinamool Congress (TMC) terlibat dalam pertempuran minggu ini, manakala larangan perhimpunan awam kini dikuatkuasakan di seluruh negeri dengan pasukan separa tentera dikerahkan ke kawasan berisiko.
Ketua Menteri Bengal Barat yang baru dilantik daripada BJP, Suvendu Adhikari, berkata kerajaan komited untuk mencegah kejadian seperti pembunuhan Mondal daripada berulang.
Bagaimanapun, Adhikari, dikenali dengan pendirian nasionalisme Hindu yang tegas serta kenyataan kontroversi terhadap masyarakat Islam, turut dituduh cuba menjadikan isu itu berunsur perkauman dan agama, khususnya berkaitan serangan maut oleh kumpulan orang ramai terhadap suspek.
Kanak-kanak perempuan yang menjadi mangsa rogol itu beragama Islam, manakala individu yang didakwa menyerangnya, menurut polis mengaku melakukan jenayah tersebut, beragama Hindu. Lelaki yang dibunuh oleh kumpulan orang ramai itu juga beragama Hindu.- AGENSI









