JAKARTA: Pendakwa raya kanan Indonesia meletak jawatan semalam selepas polis menggeledah kediamannya dalam siasatan besar-besaran membabitkan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan syarikat milik kerajaan.
Ketua Pendakwa Raya Jenayah Khas di Jabatan Peguam Negara, Febrie Adriansyah, mengumumkan peletakan jawatan susulan serbuan pada Jumaat di sekurang-kurangnya 12 lokasi, termasuk beberapa hartanah yang dikaitkan dengannya di sekitar Jakarta.
Serbuan tersebut membawa kepada rampasan wang tunai melebihi AS$20 juta (RM81 juta) dalam pelbagai mata wang serta 74 kilogram (kg) jongkong emas.
Pejabat Peguam Negara memaklumkan menerima peletakan jawatan Febrie, sambil menyifatkan langkah tersebut sebagai usaha mengekalkan integriti, objektiviti dan berkecuali dalam penguatkuasaan undang-undang.
“Keputusan itu mencerminkan komitmen untuk memelihara integriti penguatkuasaan undang-undang ketika siasatan masih berjalan,” kata jurucakap Pejabat Peguam Negara, Anang Supriatna, dalam kenyataan video.
Menurut jurucakap polis, Budi Hermanto, lokasi yang diserbu termasuk sebuah rumah di daerah Bogor di luar Jakarta, sebuah kafe dan sebuah lagi kediaman di Jakarta Selatan.
Dalam operasi itu, polis merampas beberapa bukti termasuk 74 kg jongkong emas, wang tunai berjumlah AS$5.8 juta (RM23.6 juta) dan 17.2 dolar Singapura (RM54 juta).
Febrie memberitahu pemberita kelmarin, rumah di Bogor itu adalah kediaman peribadinya, namun menafikan aset yang dirampas di premis tersebut mempunyai kaitan dengan rasuah.
Beliau menegaskan, semua aset berkenaan boleh dijelaskan sumber dan pemilikannya.
Media Indonesia melaporkan, polis sedang menyiasat tiga kes melibatkan dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram, termasuk berkaitan perolehan arang batu untuk syarikat utiliti milik kerajaan, PLN.- AFP










