GLASGOW: Walaupun memulakan kempen Sukan Komanwel Glasgow 2026 dengan kemenangan bergaya, pemain boling padang negara, Izzat Shameer Dzulkeple enggan dibuai kejayaan sebaliknya mengakui masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki bagi menghadapi cabaran lebih getir selepas ini.
Pemain berusia 44 tahun itu menganggap kemenangan 2-0 ke atas wakil Kepulauan Falkland, Cecil Alexander dalam aksi pembukaan Kumpulan D perseorangan lelaki di Scottish Event Campus Centre hanyalah langkah pertama, dengan ujian sebenar masih menanti.
Menurut Izzat, perasaan gemuruh pada permulaan perlawanan sedikit sebanyak menjejaskan rentaknya, namun pengalaman beraksi di pentas Sukan Komanwel membantu dia cepat menyesuaikan diri dengan suasana pertandingan.
“Alhamdulillah, saya dapat memulakan saingan dengan keputusan yang baik. Memang ada sedikit rasa gementar, tetapi saya berjaya mengawalnya. Apa yang penting, saya sedar masih banyak perkara yang perlu diperbaiki.
“Perlawanan pertama ini memberi peluang untuk saya menyesuaikan diri dengan gelanggang. Saya harap dapat tampil lebih yakin dalam aksi seterusnya kerana saingan selepas ini lebih mencabar,” katanya.
Dalam perlawanan itu, Izzat tidak berdepan banyak masalah apabila menewaskan Alexander menerusi keputusan 10-3 dan 7-4 untuk mengutip kemenangan pertama dalam kumpulan.
Bagaimanapun, dia mengakui perlu memperkemaskan aspek taktikal terutama mengurangkan balingan yang terlalu pendek kerana ia sering menyebabkan peluang mengutip mata terlepas begitu sahaja.
“Saya perlu pastikan balingan lebih tepat, terutama mengurangkan bola yang terlalu pendek. Selepas ini saya mahu lebih banyak menghasilkan balingan ke belakang dan memberi tumpuan kepada draw supaya lebih konsisten sepanjang permainan,” katanya.
Izzat yang membuat penampilan kedua di temasya Komanwel turut mengingatkan dirinya agar tidak cepat berpuas hati kerana masih perlu berdepan tiga lawan lebih berpengalaman iaitu wakil India, Malta dan Kanada dalam baki saingan peringkat kumpulan.
Hari ini, dia dijadual membuat perhitungan dengan pemain Malta, Shaun Parnis, manakala beregu wanita negara, Aleena Ahmad Nawawi-Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman akan memulakan cabaran Kumpulan D dengan menentang pasangan Kepulauan Falkland dan Jersey.-UTUSAN










