Iran, Oman cadang kutipan yuran Selat Hormuz

Iran, Oman cadang kutipan yuran Selat Hormuz

BEBERAPA bot berlabuh di luar Semenanjung Musandam utara Oman berhampiran Selat Hormuz.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Iran dan Oman mengemukakan cadangan kepada Amerika Syarikat (AS) untuk mentadbir Selat Hormuz, termasuk mengutip yuran pentadbiran secara bersama oleh kedua-dua negara Asia Barat itu.

Menurut laporan NBC News yang memetik tiga sumber, cadangan itu dihantar kepada AS baru-baru ini. Namun, seorang pegawai Asia Barat berkata, walaupun Washington dirujuk mengenai kemungkinan mekanisme untuk mengurus selat tersebut, Oman belum mengemukakan sebarang cadangan rasmi.

Di bawah memorandum persefahaman yang ditandatangani bulan lalu, AS dan Iran bersetuju kapal boleh melalui selat tersebut dengan bebas serta selamat selama 60 hari, sebelum pengurusan jangka panjang diputuskan melalui rundingan antara Iran, Oman dan negara-negara Teluk lain.

Menteri Luar Oman, Sayyid Badr bin Hamad Al Busaidi dalam temu bual minggu ini berkata, negara itu menyokong pelaksanaan yuran wajib ke atas kapal yang melalui Selat Hormuz.

Pegawai Asia Barat memberitahu NBC News, Iran giat mendesak melaksanakan bayaran tersebut dan percaya AS akhirnya akan bersetuju dengan beberapa bentuk caj itu.

Menurut pegawai itu, yuran bagi Selat Hormuz akan dikutip dengan rundingan bersama masyarakat antarabangsa serta melalui Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO). Jika negara-negara terlibat bersetuju, dana yang dikumpul akan dikongsi antara Iran dan Oman.

Katanya, dana tersebut boleh digunakan untuk menilai risiko alam sekitar, operasi menyelamat dan sokongan teknikal, seperti model yang digunakan di Selat Melaka.

Pegawai itu turut menyatakan bahawa Oman menanggung kos penyelenggaraan Selat Hormuz untuk perkhidmatan maritim, alam sekitar dan navigasi selama bertahun-tahun tanpa mengenakan sebarang bayaran.

Cadangan baharu mengenai masa depan laluan perkapalan komersial global itu pertama kali dilaporkan The New York Times, yang memetik seorang pegawai Iran dan empat diplomat yang mengetahui perkara berkenaan.

Sumber itu berkata, perunding AS mempunyai kebimbangan terhadap cadangan tersebut, namun bercadang untuk membincangkannya dengan pihak Oman serta percaya isu berkenaan boleh diselesaikan.

Pegawai AS dan Presiden Donald Trump sebelum ini berulang kali menolak pelaksanaan sistem tol di selat tersebut.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN