WASHINGTON: Gelombang haba dahsyat mengancam sambutan Hari Kemerdekaan ke-250 Amerika Syarikat (AS), perlawanan Piala Dunia dan bekalan tenaga apabila suhu hampir mencecah paras tertinggi di bahagian timur negara itu kelmarin.
Kira-kira 160 juta rakyat Amerika berada di bawah amaran haba tahap tinggi atau ekstrem ketika negara itu bersiap sedia menyambut ulang tahun ke-250 kemerdekaannya, menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan.
Sambutan di National Mall, kawasan padang luas dari Kongres hingga Tugu Peringatan Washington, terpaksa ditangguhkan sebahagiannya pada awal petang Jumaat akibat cuaca panas melampau.
Seorang wanita muda dilaporkan mengalami keletihan haba dan dipindahkan oleh paramedik dari Pameran Negeri Great American yang berlangsung di kawasan itu.
“Ia sudah kes ke-30. Mereka mungkin perlu menutup acara ini,” kata seorang petugas acara.
Kurang 90 minit kemudian, penganjur memutuskan untuk menamatkan acara tersebut.
Menurut penganjur, perarakan Hari Kemerdekaan di Washington yang dijadualkan pada pagi Sabtu turut dibatalkan ekoran cuaca panas melampau.
Di Bandar Raya New York, indeks haba mencecah 41 darjah Celsius pada tengah hari, sedikit rendah daripada 46 darjah Celsius yang diramalkan oleh ahli meteorologi.
Bagaimanapun, cuaca panas melampau itu mencetuskan tindak balas kerajaan, dengan pusat penyejukan dibuka di seluruh bandar dan kolam renang awam melanjutkan waktu operasi.
Di seluruh negara, banyak rekod suhu harian dijangka berlaku hari ini dan pada Hari Kemerdekaan. Beberapa kawasan juga mungkin mencatat rekod suhu berturut-turut, rekod bulanan, dan juga rekod tertinggi sepanjang masa, kata Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan.- AFP










