PARIS: Perancis, Belanda dan Belgium merekodkan 3,700 kematian sepanjang gelombang haba bulan lalu yang menyebabkan suhu melonjak di seluruh Eropah.
Pihak berkuasa memberi amaran angka tersebut masih awal dan berkemungkinan meningkat.
Pakar berkata, gelombang haba yang berlaku sekitar 20 hingga 28 Jun itu merupakan antara paling teruk pernah direkodkan di Eropah, menyebabkan gangguan kepada penjanaan tenaga, kerosakan infrastruktur dan tekanan dalam sistem kesihatan.
Saintis pula mengaitkan cuaca panas melampau itu dengan perubahan iklim.
Menteri Kesihatan Perancis, Stephanie Rist berkata, negara itu merekodkan 2,025 kematian akibat gelombang haba, dengan peningkatan ketara dalam kalangan individu berusia 45 tahun ke atas.
Kematian di rumah meningkat 91 peratus antara 22 hingga 28 Jun berbanding minggu sebelumnya, manakala kematian di rumah penjagaan dan kemudahan kesihatan juga meningkat, kata pihak berkuasa kesihatan awam negara dalam satu kenyataan.
Pihak berkuasa memberi amaran jumlah sebenar kematian dijangka lebih tinggi daripada angka awal yang dilaporkan.
Di Belgium, Kementerian Kesihatan berkata, negara itu merekodkan kira-kira 1,200 kematian antara 18 hingga 29 Jun, dengan 530 daripadanya melibatkan individu berusia 85 tahun ke atas.
Mereka yang berusia bawah 65 tahun pula menyumbang kepada 180 kematian.
“Kematian berlebihan seperti ini semasa gelombang haba adalah sesuatu yang belum pernah berlaku di negara kami,” kata kementerian dalam satu kenyataan.
Pihak berkuasa di Belanda pula berkata, gelombang haba tersebut menyebabkan kira-kira 480 kematian, kebanyakannya dalam kalangan mereka yang berusia 80 tahun ke atas.- AGENSI










