PETALING JAYA: Formula Satu (F1) kembali menggegar Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2 hingga 4 Oktober depan apabila Malaysia dipilih menjadi tuan rumah Grand Prix (GP) F1 Bahrain 2026, sekali gus menamatkan penantian selama sembilan tahun sejak kali terakhir perlumbaan itu berlangsung di negara ini pada 2017.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia berbesar hati diberi kepercayaan oleh Kerajaan Bahrain dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) untuk menganjurkan perlumbaan berprestij itu di SIC.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri yang juga Putera Mahkota Bahrain, Putera Salman Hamad Al Khalifa, kerajaan dan rakyat Bahrain atas kepercayaan dan keyakinan yang diberikan kepada Malaysia.
“Kami berbesar hati untuk menyokong Kerajaan Bahrain, F1 dan FIA dalam menganjurkan GP Bahrain di SIC tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Menurut beliau, kerjasama tersebut bukan sekadar penganjuran acara sukan bertaraf dunia, malah mencerminkan persahabatan yang kukuh antara Malaysia dan Bahrain, di samping mengesahkan kesiapsiagaan negara menganjurkan acara antarabangsa berskala besar itu.
Jelasnya, Malaysia bersedia mengalu-alukan kepulangan F1 ke Sepang dengan menawarkan kemudahan bertaraf dunia, kecekapan operasi serta layanan mesra kepada pasukan dan peminat dari seluruh dunia.
“Kami menantikan peluang untuk mempamerkan infrastruktur bertaraf dunia, kecemerlangan operasi dan hospitaliti Malaysia, selain terus mengukuhkan hubungan erat antara kedua-dua negara menerusi acara istimewa ini,” ujarnya.
Sementara itu, Putera Salman pula berkata, keputusan membawa perlumbaan GP Bahrain ke Malaysia dibuat dengan perkenan Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al Khalifa serta Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Menurut beliau, perlumbaan yang akan berlangsung di SIC itu mencerminkan komitmen berterusan Bahrain terhadap sukan permotoran, selain memberi pengalaman istimewa kepada peminat F1 di seluruh dunia.
“Di tengah-tengah cabaran serantau yang sedang berlaku, Bahrain berbangga menjadi simbol kestabilan kepada F1 dan kami akan melakukan segala yang termampu bagi memastikan perlumbaan ini berlangsung dengan jayanya.
“Saya juga merakamkan penghargaan kepada F1, FIA, Litar Antarabangsa Bahrain, SIC serta semua pasukan atas sokongan mereka dalam menjayakan perlumbaan hujung minggu tersebut,” katanya.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan SIC, penganjuran GP Bahrain di Malaysia masih tertakluk kepada pemeteraian perjanjian akhir termasuk kelulusan Majlis Sukan Permotoran Dunia.
“Keputusan itu dicapai menerusi persetujuan antara F1, FIA, Kerajaan Bahrain dan Kerajaan Malaysia bagi memastikan satu pusingan Kejuaraan Dunia F1 2026 dapat diteruskan,” kata kenyataan itu.
Jelas kenyataan tersebut lagi, baki kalendar F1 bagi musim 2026 kekal tidak berubah dan maklumat berhubung penjualan tiket akan diumumkan dalam masa terdekat. – UTUSAN










