GLASGOW: Jaguh angkat berat negara, Muhammad Erry Hidayat menghadiahkan pingat emas ketiga buat kontinjen Malaysia pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 selepas menjuarai acara 79 kilogram (kg) lelaki dengan penuh bergaya, hari ini.
Kejayaan itu turut menyaksikan atlet berusia 26 tahun berkenaan mencipta sejarah peribadi apabila meraih emas sulung di pentas Komanwel, sekali gus menebus kekecewaan selepas sekadar membawa pulang pingat perak dalam kategori 73kg pada edisi Birmingham 2022.
Lebih manis, Erry memecahkan rekod Sukan Komanwel menerusi angkatan keseluruhan 331 kilogram (kg), hasil 147kg dalam snatch dan 184kg menerusi clean and jerk.
Atlet kelahiran Terengganu itu membuktikan ketenangannya di pentas akhir apabila mengenepikan cabaran sengit pencabar dari India, Valluri Ajaya Babu yang meraih perak dengan jumlah angkatan 330kg menerusi 149kg dalam snatch dan 181kg bagi clean and jerk.
Pingat gangsa pula menjadi milik Chris Murray dari England selepas melakukan angkatan keseluruhan 325kg hasil 148kg dalam snatch dan 177kg dalam clean and jerk.
Kejayaan Erry lebih bermakna apabila dia mengikut jejak langkah bapanya, Hidayat Hamidon yang pernah menghadiahkan pingat emas buat Malaysia pada Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998, sekali gus meneruskan legasi keluarga dalam sukan angkat berat negara.
Emas dimenangi Erry turut mengukuhkan prestasi cemerlang skuad angkat berat negara di Glasgow apabila menjadi emas ketiga Malaysia selepas Mohamad Aniq Kasdan menguasai kategori 60kg dan Aznil Bidin muncul juara kategori 65kg, masing-masing pada Ahad.
Pencapaian itu sekali gus mengesahkan angkat berat terus muncul antara penyumbang utama pingat emas kontinjen negara pada temasya kali ini, selain membuktikan Malaysia masih memiliki barisan atlet yang mampu bersaing di pentas tertinggi Komanwel.-UTUSAN










